JenayahNasional

Cinta monyet, pelajar retak tempurung kepala dibelasah senior

SEORANG pelajar lelaki mengalami retak tempurung kepala ekoran dipukul oleh seorang pelajar senior di sebuah sekolah menengah di Gua Musang, Kelantan.

Punca pergaduhan di antara kedua-dua pelajar berkenaan ialah meminati pelajar perempuan yang sama dan sama-sama belajar di sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Sik Choon Foo berkata, dalam kejadian pada pukul 11.15 pagi Selasa lalu, mangsa, pelajar Tingkatan 4 sekolah itu berada di luar kelas.

Katanya, mangsa didatangi lima pelajar Tingkatan 5 yang terus memukul bahagian badannya secara beramai-ramai sebelum seorang suspek memukul kepala mangsa dengan menggunakan batu sehingga menyebabkan bahagian kiri tempurung kepala mangsa retak.

“Pergaduhan itu bagaimanapun dapat dileraikan oleh pengawas yang lalu di situ.

“Selain cedera di kepala, mangsa turut mengalami bengkak di beberapa bahagian anggota badannya seperti di tangan kanan dan kiri, bahagian belakang badan dan lenguh di kaki,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Sik berkata, mangsa menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan dimasukkan ke wad untuk menjalani rawatan susulan.

Beliau berkata, punca kejadian dipercayai akibat rasa tidak puas hati oleh suspek kerana dia dan mangsa dikatakan meminati pelajar perempuan yang sama.

“Polis sudah mengambil keterangan daripada semua pelajar senior yang didakwa memukul mangsa dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – SM

 

(Visited 281 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button