fbpx
Kebakaran

Wad HSA terbakar: Dr. Noor Hisham puji kecekapan kakitangan selamatkan pesakit

KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memuji kecekapan kakitangan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru menyelamatkan nyawa pesakit dalam kebakaran Wad Perempuan 1 hospital itu semalam.

Dalam kejadian semalam 24 pesikit dalam wad berkenaan berjaya dikeluarkan dan tiada kemalangan jiwa berlaku.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memuji anggota-anggota kesihatan dan pihak pengurusan di Hospital Sultanah Aminah atas tindakan pantas demi memastikan keselamatan pesakit-pesakit dan anggota kesihatan yang lain,” kata Dr. Noor Hisham.

Beliau bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min meninjau keadaan wad tersebut malam tadi.

Pengarah Hospital Sultanah Aminah, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad memberikan taklimat mengenai insiden yang mencemaskan itu.

Jelas Dr. Noor Hisham sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk menyiasat kejadian kebakaran berkenaan dan langkah-langkah keselamatan yang diambil bagi memastikan perkhidmatan kesihatan Hospital Sultanah Aminah kepada Rakyat tidak akan terjejas.

“Walaupun setelah sekian lama menghadapi pelbagai cabaran, petugas kesihatan di lapangan tetap berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik demi Rakyat.

“Apa yang penting dan Keutamaan kita adalah keselamatan warga petugas KKM dan pesakit. Saya berharap kerjasama padu pelbagai kementerian dan agensi dapat menyusuli untuk tempoh jangkamasa pendek dan panjang pembangunan hospital ini.

Wad Perubatan Perempuan Hospital Sultanah Aminah (HSA) terbakar kira-kira jam 3 petang semalam.

Ketika kejadian 52 pesakit berada dalam Kompleks Wad Perubatan Perempuan. Daripada jumlah itu 24 pesakit berada dalam wad yang terbakar dan berjaya diselamatkan oleh kakitangan hospital.

Pada Oktober 2016, berlaku kebakaran besar di Wad Rawatan Rapi (ICU) HSA sehingga mengorbankan enam nyawa.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.
Back to top button