Nasional

Veveonah, ibu bapa makan bersama PM

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dilaporkan berjumpa dengan pelajar Universiti Malaysia Sabah Veveonah Mosibin, 18.

Dalam gambar yang tersebar di media sosial itu turut kelihatan adalah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr. Noraini Ahmad.

Veveonah pula ditemani kedua ibu bapanya dalam pertemuan yang santai di meja makan itu.

Muhyiddin ketika ini berada di Sabah bagi memberikan sokongan kepada calon-calon Perikatan Nasional dan Barisan Nasional yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.

Semalam Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertemu dengan pelajar itu serta ibu bapanya bagi meminta maaf bagi pihak kerajaan.

“Sempat bertemu Veveonah di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Saya telah mohon maaf kepada beliau dan ibu bapa beliau bagi pihak kerajaan,” katanya dalam satu ciapan di Twitter .

Kabinet sebelum itu memutuskan kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri terhadap Veveonah Mosibin adalah tidak betul dan tidak wajar.

Kontroversi melibatkan pelajar bijak itu bermula apabila Zahidi dalam perbahasan di Parlimen mendakwa remaja itu tidak menjawab sebarang peperiksaan ketika rakaman video memanjat pokok itu dibuat.

Menurut Zahidi, maklumat yang diterimanya mengenai Veveonah diperoleh daripada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri yang juga timbalan menteri kewangan 1.

Veveonah, dari Pitas, Sabah, menjadi perhatian pada Jun lalu susulan videonya terpaksa memanjat pokok di kampungnya semata-mata untuk mendapatkan capaian internet yang baik dalam membolehkan beliau menjalani ujian, tular di internet.-SM

 

(Visited 305 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button