Nasional

Vaksin Sinovac untuk kanak-kanak di PPV terpilih mulai esok

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan menawarkan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi Kanak-Kanak (PICKids) di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih mulai esok.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ibu bapa boleh menyemak senarai dan waktu operasi PPV yang menawarkan vaksin ini secara “walk-in” di laman sesawang kementerian dan PHCorp.

Beliau berkata, vaksin itu adalah yang kedua diluluskan penggunaannya bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun selepas Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech.

“Ibu bapa juga diberi pilihan untuk memberikan vaksin CoronaVac kepada anak mereka sekiranya tidak bersetuju untuk menggunakan vaksin Comirnat dan dialu-alukan untuk mendapatkan penjelasan dengan lebih lanjut daripada petugas kesihatan yang bertugas sekiranya terdapat pertanyaan.

“Vaksin CoronaVac hanya boleh diberi apabila kanak-kanak mencapai usia lima tahun pada tarikh lahir. Bagi mendapatkan status vaksinasi lengkap, dua dos vaksin CoronaVac dengan selang masa empat minggu perlu diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun,“ katanya dalam kenyataan.


Noor Azmi berkata, ibu bapa yang mendaftar anak dalam aplikasi MySejahtera pula akan menerima pautan kepada tempahan janji temu vaksinasi anak mereka.

Beliau berkata, penawaran vaksin CoronaVac di PPV dikendalikan KKM dan PHCorp bawah PICKids adalah percuma.

Katanya lagi, selain program PICKids terdapat juga klinik dan hospital swasta menawarkan vaksin CoronaVac kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun dengan bayaran.

Pada 3 Mac lepas, Kerajaan meluluskan penggunaan vaksin CoronaVac untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menjadikan vaksin itu sebagai vaksin kedua diluluskan untuk golongan berkenaan.

Beliau berkata, vaksin jenis Comirnaty formulari kanak-kanak telah diluluskan pada 6 Jan lepas bagi memastikan perlindungan optimum terhadap jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Ia merupakan vaksin yang diberi keutamaan dalam PICKids termasuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang berisiko tinggi dan mempunyai komorbiditi seperti individu mempunyai imun rendah, penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, kencing manis, obesiti dan lain-lain.

Katanya, berdasarkan data COVIDNOW hingga semalam, jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun menunjukkan peningkatan ketara apabila 123,053 orang disahkan positif virus itu sejak Januari lepas.

Menurut beliau, terdapat juga kes memerlukan rawatan di hospital dan sebilangannya memerlukan rawatan intensif di unit rawatan rapi (ICU). – SM

 

(Visited 103 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button