Nasional

Vaksin Pfizer selamat, tiada risiko miokarditis dan perikarditis

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech yang mengunakan vaksin COVID-19 jenis mRNA selamat digunakan.

Jaminan itu dikeluarkan berikutan laporan oleh beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura baru-baru ini, berkenaan risiko miokarditis dan perikarditis yang dikaitkan dengan penggunaan vaksin COVID-19 jenis mRNA.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah menjalankan penilaian risiko ke atas isu keselamatan berkenaan berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada badan-badan regulatori dan rujukan antarabangsa.

“KKM merumuskan bahawa profil keselamatan vaksin ini kekal positif dan penggunaannya dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tidak terjejas. Manfaat semasa bagi pemberian vaksin ini adalah jauh melebihi risikonya,” kata Dr. Noor Hisham dalam satu kenyataan.

Miokarditis merupakan radang pada otot jantung sementara perikarditis pula merujuk kepada radang pada lapisan luar jantung.


Simptom atau gejala yang dikaitkan dengan miokarditis atau pericarditis termasuklah sakit dada, perubahan pada kadar degupan jantung serta kesukaran untuk bernafas.

Pada masa ini, hanya satu jenis vaksin mRNA sahaja iaitu Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech telah diluluskan pendaftaran bersyarat di Malaysia.

Sehingga 13 Jun lalu sejumlah 2,793,826 vaksin Comirnaty telah diberikan kepada rakyat Malaysia.

Pemberian vaksin jenis tersebut melibatkan sebanyak 1,676,959 dos pertama dan 1,116,867 dos kedua.

Dr. Noor Hisham berkata, sehingga kini, tiada laporan kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) spesifik untuk miokarditis/perikarditis yang diterima oleh NPRA/KKM.

“KKM juga mendapati sehingga kini, tiada tindakan regulatori yang telah diambil oleh badan-badan rujukan antarabangsa lain seperti European Medicines Agency (EMA) dan World Health Organization (WHO) ke atas produk vaksin COVID-19 jenis mRNA.

“Penilaian masih dijalankan bagi menentukan hubungkait isu ini dengan vaksin COVID-19 jenis mRNA,” jelas Dr. Noor Hisham.

Katanya, KKM akan sentiasa menjalankan pemantauan berterusan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin sentiasa terjamin.

Pihak KKM akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai dari semasa ke semasa. Orang ramai dinasihatkan untuk mendaftarkan diri untuk mendapatkan vaksin COVID-19.-SM

 

 

 

 

(Visited 102 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button