Nasional

Ambrin tidak diugut, ditekan pinda laporan 1MDB

BEKAS Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang tidak ditekan atau diugut untuk meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Ali berkata beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy tidak pernah mengarahkan Ambrin dan bekas Pengarah Jabatan Audit Negara (JAN) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad supaya mengubah laporan audit 1MDB.

Saksi pendakwaan keempat dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Arul Kanda yang menghadapi tuduhan mengubah laporan akhir audit 1MDB, juga menafikan ada individu dari Pejabat Perdana Menteri atau Kementerian Kewangan, yang telah mengugut Ambrin supaya meminda laporan audit semasa perjumpaan di pejabat Ali pada 24 Februari 2016.

Ali, 65, yang memegang jawatannya sehingga Ogos 2018 mengatakan demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pada hari ke-10 perbicaraan.

Mesyuarat itu diadakan setelah Najib menyatakan rasa tidak senang terhadap dua penyata kewangan yang berbeza bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2014, dalam draf laporan audit JAN mengenai 1MDB.

Ambrin sebelum ini, telah memberi keterangan bahawa beliau ditekan untuk melakukan pindaan terhadap laporan audit dalam pertemuan itu.

Namun, Ali berkata Ambrin dan pegawai JAN tidak ditekan ketika menghadiri mesyuarat yang disifatkannya berlangsung dalam suasana mesra, persefahaman dan berdasarkan kesepakatan.

Katanya, antara isu yang dibincangkan adalah permintaan JAN untuk mengeluarkan dua penyata kewangan yang berbeza daripada draf laporan audit.

Ali berkata JAN telah bersetuju untuk mengeluarkan kedua-dua penyata kewangan yang berbeza itu dengan memberi jaminan bahawa akan ada penyiasatan polis terhadap perkara itu, bagaimanapun beliau menambah bahawa maklumat terbaru yang diterima adalah tidak ada laporan polis dibuat dan tiada orang dalam 1MDB yang didakwa berhubung kedua-dua dokumen tersebut.

Sementara itu, Ali memberitahu mahkamah bahawa beliau mengetahui pegawai JAN, Nor Salwani Muhammad telah membuat rakaman mesyuarat itu yang bertujuan untuk membincangkan perubahan yang akan dibuat dalam laporan audit jabatan itu mengenai 1MDB.

Semasa ditanya Muhammad Shafee sama ada tindakan itu tidak beretika, Ali menjawab, semua orang di bilik mesyuarat itu tidak tahu mengenai rakaman berkenaan, jadi pada masa itu, agak tidak beretika kerana tidak diminta keizinan.

Nor Salwani dalam keterangannya sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa beliau telah merakamkan mesyuarat itu setelah diminta mengambil minit mesyuarat untuk JAN tetapi tidak dibenarkan masuk.

Ali berkata beliau tidak pula mendengar sebarang aduan daripada JAN bahawa pegawainya tidak dibenarkan mengiringi Ambrin dalam mesyuarat itu dan tidak pasti sama ada pegawainya telah membuat arahan sedemikian.

Saksi pendakwaan itu berkata beliau akan mempertimbangkan untuk menambah kerusi jika ada permintaan untuk membolehkan seluruh pasukan JAN menghadiri mesyuarat itu tetapi tidak ada permintaan yang dibuat.

Ditanya mengenai keterangannya sebelum ini yang beliau sifatkan Arul Kanda telah ‘mendesak’ JAN tentang kandungan tertentu dalam laporan auditnya, Ali berkata: “Berdasarkan perwatakannya (Arul Kanda), berbicara dengan lembut. Dia ‘mendesak’ dengan cara yang baik.

Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya, manakala Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan ke atas laporan itu, untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

Pada awal perbicaraan, Muhammad Shafee memaklumkan Mohamed Zaini bahawa seorang peguam dalam pasukannya yang mengambil ujian saringan COVID-19 semalam telah disahkan negatif.

Semalam, mahkamah menangguhkan perbicaraan sehingga hari ini setelah dipohon Muhammad Shafee apabila beliau memaklumkan bahawa peguam berkenaan mengambil ujian saringan COVID-19 sebagai langkah berjaga-jaga setelah demam dan batuk. – BERNAMA

(Visited 114 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button