HiburanTeater

UNESCO beri pengiktirafan kepada teater tradisi Mek Mulung

MALAYSIA semalam telah melakar sejarah apabila Mek Mulung, sebuah teater tradisi warisan Kedah Tua telah berjaya disenaraikan di bawah kategori List of Intangible Cultural Heritage in Need of Urgent Safeguarding semasa 18th Session of the Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural  Heritage  (IGC  ICH).  Sesi  ini  telah  berlangsung  pada  4-9 Disember 2023 di Kasane, Republik Botswana.

Pada sesi kali ini, sebanyak 45 Warisan Kebudayaan Tidak Ketara dari seluruh dunia telah diinskripsi menjadikan jumlah keseluruhan 612 Warisan Kebudayaan Tidak Ketara di bawah kategori Representative List. Manakala, hanya enam (6) Warisan Kebudayaan Tidak Ketara dari seluruh dunia diiktiraf bawah kategori in Need of Urgent Safeguarding termasuklah Mek Mulung, menjadikan jumlah keseluruhan 82 Warisan Kebudayaan Tidak Ketara diinskripsi bawah kategori ini.

Keputusan pencalonan Mek Mulung telah diumumkan pada jam 4.40 petang bersamaan dengan jam 10.40 malam waktu Malaysia. Penyenaraian yang cukup berprestij ini telah diputuskan oleh Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage UNESCO yang dianggotai oleh 24 Negara Anggota 2003  Convention  for  the  Safeguarding  of  the  Intangible  Cultural Heritage yang dipengerusikan oleh wakil negara Republik Botswana.

Delegasi Malaysia yang terdiri daripada pegawai-pegawai MOTAC, JWN, Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO dan pakar rujuk warisan kebudayaan tidak ketara, telah diketuai oleh YBrs. Dr. Christina Yeo, Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa Kebudayaan, MOTAC.

Mek Mulung merupakan salah satu seni persembahan tertua di Kedah yang telah diwarisi turun-temurun sejak tamadun awal Kedah. Sebagai tradisi yang berakar umbi di desa Wang Tepus, Kedah, sejak lebih enam generasi, YBhg. Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman, Ketua Setiausaha MOTAC juga menegaskan adalah penting untuk meningkatkan kesedaran dan meraikan seni warisan ini. Dari permulaannya yang sederhana sebagai sebuah teater rakyat, Mek Mulung kini akan dikenali ke seluruh dunia.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) telah mencalonkan Mek Mulung kepada pihak sekretariat UNESCO pada 31 Mac 2022.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing amat berbangga serta berbesar hati apabila kesenian tradisi Mek Mulung, salah satu seni persembahan Malaysia yang paling bernilai telah dimasukkan ke dalam Senarai UNESCO Warisan Budaya Tidak Ketara yang Memerlukan Perlindungan Segera. Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa IGC ICH bersempana pengiktirafan yang diberikan kepada seni persembahan tradisional Mek Mulung ini.

Malah, Malaysia masih terdapat banyak persembahan seperti Mek Mulung, Mak Yong dan sebagainya yang bernilai untuk disenaraikan ke dalam Senarai UNESCO Warisan Budaya Tidak Ketara. Malaysia komited untuk terus menjaga tradisi kita untuk generasi akan datang selaras dengan Konvensyen 2003 Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara.

Malaysia   merupakan   ahli   IGC   ICH   bagi   tempoh   2022-2026. Bersempena  dengan  IGC  ICH  ini  juga,  MOTAC  telah  membawa kumpulan Mek Mulung Seri Mahawangsa, gabungan penggiat seni dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (AKRAB Kedah) dan Kumpulan Mek Mulung Wang Tepus untuk menyampaikan persembahan dalam acara sampingan.

IGC ICH kali ini juga bakal menyaksikan kejayaan tiga Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia telah disenaraikan bawah NGO Bertauliah (Accredited NGO) UNESCO iaitu Pusat Budaya Pusaka Sdn. Bhd. (PUSAKA), Pertubuhan Kraf Malaysia (Malaysian Craft Council) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Dengan pengiktirafan ini, NGO ini berperanan dalam membantu Malaysia meningkatkan visibiliti Warisan Kebudayaan Tidak Ketara di peringkat nasional dan antarabangsa.

Selain dapat mengetengahkan Mek Mulung di peringkat dunia, pengiktirafan ini juga memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara di Negara ini, sejajar dengan Teras 3 Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) iaitu memfokuskan kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya.

Pengiktirafan pada kali ini telah menjadikan jumlah Warisan Kebudayaan Tidak Ketara negara yang diiktiraf di peringkat UNESCO bertambah kepada tujuh (7). Terdahulu, Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Malaysia yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO ialah Mak Yong (2005 dan 2008), Dondang Sayang (2018), Silat (2019), Upacara Wangkang bersama negara China (2020) dan Pantun bersama negara Indonesia (2020), Songket (2021).

Pengiktirafan UNESCO ini bakal meningkatkan lagi kesedaran terhadap kepentingan melindungi kelestarian seni dan warisan turun temurun tanpa mengira umur dan bangsa. Pengiktirafan ini juga akan memberikan galakan serta motivasi kepada golongan generasi muda termasuk pengamal seni dan warisan untuk berkecimpung dalam seni persembahan Mek Mulung dan seterusnya akan memangkin aktiviti kajian, pembangunan, pemeliharaan dan pemuliharaan Mek Mulung. – SM

Artikel berkaitan > Malaysia terpilih duduki kerusi UNESCO IGC ICH sesi 2022-2026

 

 

(Visited 113 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button