fbpx
Politik

UMNO tidak pernah berhasrat kemuka usul undi tidak percaya terhadap PM

PARTI UMNO tidap pernah mempunyai sebarang hasrat untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin di Dewan Rakyat.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga berkata, topik tersebut tidak pernah dibincangkan oleh UMNO dalam mana-mana mesyuarat parti yang diadakan.

“Tidak ada. UMNO tidak pernah mempunyai hasrat membuat usul berkenaan terhadap Perdana Menteri,” kata Ahmad kepada media selepas Majlis Penyampaian Bantuan kepada Mahasiswa/Mahasiswi Parlimen Pontian di Dewan Muafakat Pusat Khidmat Benut, Pontian hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mahu usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dibahaskan di Dewan Rakyat.

Surat gesaan Tengku Razaleigh kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk menjelaskan mengapa Usul Tidak Percaya terhadap Muhyiddin tidak dibahaskan di Parlimen dikongsi Ahli Parlimen UMNO itu di media sosialnya semalam.

Ahmad menjelaskan tindakan yang diambil oleh Tengku Razaleigh itu adalah atas kapasiti beliau dan sama sekali tidak melibatkan UMNO.

“Tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, dibahaskan di Dewan Rakyat adalah tindakan peribadi beliau dan UMNO tidak terbabit,” katanya.

Menerusi sepucuk surat yang dikongsinya itu, Tengku Razaleigh mendakwa kerajaan pimpinan Muhyiddin telah menolak usul yang sama untuk dibahaskan sebanyak dua kali pada sesi Dewan Rakyat yang lepas.

Hari ini, Empat lagi ahli Parlimen termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi mengemukakan Usul Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk sesi sidang Parlimen akan datang.

Selain Dr Mahathir, tiga Ahli Parlimen lagi ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.-SM

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button