Politik

UMNO kedah bakal tampilkan lebih 30 peratus muka baharu calon PRN

UMNO Kedah bakal menampilkan lebih 30 peratus muka baharu untuk digandingkan bersama calon-calon berpengalaman dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pemilihan calon dibuat dengan mengambil kira semua faktor terutamanya penerimaan rakyat terhadap calon yang dipilih.

“Lebih 30 peratus calon ditampilkan UMNO kali ini merupakan muka-muka baharu yang akan digandingkan dengan calon berpengalaman. Kita sudah serahkan tiga nama dari setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada kepimpinan Pusat untuk dinilai dan terpulang kepada mereka untuk membuat pengumuman nanti.

“Antara faktor terpenting yang dinilai adalah penerimaan rakyat kepada personaliti itu. Kalau rakyat suka dan parti pun suka, insya Allah kita boleh mencapai kemenangan”.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Tunku di sini, hari ini.

Tambah Mahdzir, jumlah itu melebihi daripada kuota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dan tidak lagi tertakluk kepada faktor senioriti dan kedudukan jawatan dalam parti.

Menurutnya lagi, tidak mustahil calon kitar semula akan turut memeriahkan saingan PRN asalkan berpotensi memberi kemenangan kepada gabungan BN-PH.

Mengulas mengenai kedudukan satu lagi kerusi DUN di Kedah yang sebelum ini dikatakan terdapat pertindihan dengan Pakatan Pakatan (PH), Mahdzir berkata, perkara itu dianggapnya sudah selesai selepas diserahkan kepada kepimpinan kedua-dua gabungan di peringkat Pusat untuk diputuskan.

“Sekarang ini segalanya sudah bersedia dan kita hanya tunggu pengumuman calon saja. Esok baru kita tahu bila senarai nama calon itu akan diumumkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkeyakinan tinggi terhadap kemampuan BN dan PH pada PRN kali ini walaupun kedua-dua gabungan itu baru lapan bulan bekerjasama.

“Kerjasama ini berlaku di tiga peringkat iaitu nasional, negeri dan akar umbi. Alhamdulillah, kerjasama di ketiga-tiga peringkat itu tampak ‘cantik’ dengan kepimpinan akar umbi di Kedah ini juga sudah menubuhkan jawatankuasa sesama mereka di setiap DUN untuk menjalankan kerja secara sistematik,” katanya. – SM 

Artikel berkaitan > Conteng wajah Perdana Menteri perbuatan politik ekstrem

(Visited 156 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button