Politik

Conteng wajah Perdana Menteri perbuatan politik ekstrem

PERBUATAN menconteng wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada papan iklan di beberapa kawasan dalam negeri ini, disifatkan perbuatan yang menjurus kepada permainan politik  ekstrem dan tidak sepatutnya berlaku.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, politik melampau seumpama itu membahayakan dan tidak boleh diberi tempat di dalam negara ini ketika era kemajuan teknologi terkini.

“Kalau kita tak suka pun, sentiasa ada had yang tidak boleh dilanggar. Sebab itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkali-kali mengingatkan mengenai kenyataan 3R yang merujuk agama, kaum dan institusi raja agar tiada pihak yang melangkaui batas.

“Kita takkan aman kalau bawa politik melampau sebaliknya perlu sentiasa bersikap rasional. Semua ini perlu bermula dengan kepimpinan tetapi kadang-kadang ada pemimpin buat kenyataan yang berbentuk menghasut.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut disertai barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri di Bangunan Tunku di sini, hari ini.

Jelas Mahdzir, kebencian dalam politik perlu ada hadnya agar tidak membawa kemusnahan kepada negara.

“Maka jangan salahkan pihak berkuasa kalau buat siasatan bawah Akta Hasutan. Nak buat kerja menconteng bagi tunjukkan sikap ekstrem ini sudah tak boleh diterima kerana kita kini berada pada 2023 di mana orang semua bercakap tentang kecerdasan buatan (AI) dan dunia digital tetapi kita masih lagi nak bawa politik melampau,” katanya.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh memaklumkan, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan terhadap tindakan pihak tertentu menconteng serta merosakkan papan iklan memaparkan wajah Perdana Menteri.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 423 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Kubang Pasu dan Kulim.

Sementara itu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar mendesak agar pihak polis segera mengambil tindakan kepada pihak yang melakukan perbuatan khianat itu.

“Ini satu perbuatan khianat yang tak boleh dibiarkan. Takkanlah kita nak ulang semula politik era 60-an atau 70-an pada zaman ini?

“Sepatutnya kita mengamalkan politik matang serta saling menghormati antara satu sama lain. Pihak polis harus segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pelakunya,” katanya. – SM 

Artikel berkaitan > Tiada “warlord” UMNO Kedah sertai PN – Mahdzir

(Visited 213 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button