fbpx
Politik

Ultra kiasu kembali berkuasa jika UMNO, Bersatu terus bertelagah

DUA parti Melayu UMNO dan Bersatu diminta untuk menurunkan ego masing-masing demi masa depan anak bangsa dan tanah air tercinta ini.

Pendakwah bebas Prof Dr, Ridhuan Tee Abdullah berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah seolah-olah memperlihatkan perpaduan antara kedua-dua parti jelas semakin lemah dan mungkin menuju kehancuran jika tidak dibendung.

“Saya tidak pernah risaukan ultra kiasu kerana mereka memang bersatu, walaupun nampak ada sedikit ‘berpecah’. Tetapi mereka tetap satu. Soalnya kita, umat Islam, terutama parti-parti Melayu UMNO dan PPBM.

“Saya tidak pernah risaukan PAS (juga BERJASA), kerana mereka sudah ‘sedar’ akan hala tuju. Tetapi belum lagi untuk UMNO dan PPBM.

“Sehingga sudah mencapai kemenangan pun dalam PRN Sabah, penentuan siapakah yang sepatutnya menjadi Ketua Menteri, antara calon Perikatan Nasional dan Barisan Nasional, masih berbelah bahagi, sehinggakan sukar untuk Tuan Yang Terutama (Gabenor) untuk membuat keputusan,” kata Ridhuan.


Ridhuan khuatir sekiranya UMNO dan Bersatu terus bercakaran akan menyebabkan kelompok ultra kiasu akan kembali berkuasa walaupun tidak mendapat majoriti.

Justeru, Ridhuan berharap Pas dan Berjasa boleh menjadi moderator masalah yang dihadapi antara UMNO (BN) dan Bersatu(PN).

“Saya tidak boleh bayangkan, jika diumumkan Pilihan Raya Umum (PRU15) tidak lama lagi. Melihat kepada pertembungan antara PN dan BN di Sabah, tidak mustahil pertembungan ini akan berlaku hebat di Semenanjung, terutama antara UMNO dan Bersatu. PAS turut juga akan menuntut tetapi mungkin tidak sehebat UMNO dan PPBM.

“UMNO selaku parti yang paling senior dan paling banyak mendapat kerusi, sudah tentu mahukan lebih banyak kerusi.

“Bersatu meskipun masih baharu, tidak punya kekuatan akar umbi, tetapi lebih banyak bersandar kepada Perdana Menteri Bersatu, pasti tidak mahu mengalah kepada UMNO,” kata Ridhuan.

Katanya, jika UMNO dan Bersatu boleh bekerjasama tidak mustahil Selangor dan Pulau Pinang dikuasai semula oleh parti terbabit.

Pokok kata Ridhuan, parti-parti Melayu dan Islam mesti bersatu.

“Jika PAS yang begitu lama berseteru dengan UMNO pun boleh bersatu atas kepentingan agama, bangsa dan negara. Kenapa UMNO dan Bersatu, yang asalnya daripada UMNO, tidak boleh bersatu. Semua ini kerana ego tinggi dan dendam tidak terbalas. Ego, ego, ego,” kata Ridhuan.-SM

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button