Nasional

Umat Islam perlu belajar skil baharu

UMAT Islam perlu cakna dan mengambil peluang mempelajari skil baharu untuk menghadapi perubahan semasa yang berlaku begitu cepat, pada masa kini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata ramai ilmuwan Islam mengajak seluruh masyarakat Islam ke arah perubahan cara fikir untuk membina umat yang dapat menyumbang perkara lebih baik kepada masyarakat dan dunia sejagat.

“Walaupun umat Islam di dunia berdepan pelbagai cabaran sejak beberapa abad lalu, seperti penjajahan, konflik dan kemiskinan, ia bukan penghalang untuk bergerak maju dalam dunia kompetitif hari ini,” katanya dalam ucapannya bertajuk Penerapan Nilai Sivik dalam Generasi Muslim Masa Hadapan.

Ucapan berkenaan ditayangkan menerusi siaran video pada Majlis Perasmian Youth, Foresight And Civics Education (VALUES2021) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, hari ini.

Turut hadir, Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Brian D McFeeters dan Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin.


Dalam pada itu, Zulkifli berkata, negara memerlukan generasi muda yang cergas daya pemikiran, berfikiran global, berdaya saing, prihatin, luas kenalan dan kolaborasi.

Jelasnya, generasi Muslim yang pemikiran kelas pertama adalah daripada golongan rajin membaca iaitu amalan sarjana hebat yang sentiasa mengkaji dan kembali memanfaatkan ummah.

Beliau berkata golongan belia tidak boleh terkongkong dalam kerangka pemikiran yang lama, dan bergantung kepada pembacaan yang terhad, kerana ia menyempitkan perspektif terhadap sesuatu perkara.

“Pendedahan, hubungan dengan budaya dan sumber ilmu luar juga perlulah diluaskan melalui penguasaan bahasa dan kolaborasi yang pelbagai. Ciri-ciri generasi belia Muslim yang disegani ialah cerminan adab dan akhlak yang tinggi,” katanya.

Zulkifli berkata, satu daripada cabaran yang dihadapi oleh belia Islam masa kini ialah pengaruh gerakan radikal yang bergerak dalam masyarakat dan kewujudan kumpulan seperti ini yang menggunakan nama Islam membawa imej buruk terhadap agama dan mengancam keselamatan serantau.

Susulan itu, Malaysia perlu mengambil serius mengenai perkara ini dan semua pihak perlu bergerak secara selari memberikan pendedahan kepada belia untuk mengenal pasti ancaman ini.

Katanya, cara terbaik ialah melalui pemahaman mengenai agama Islam yang betul, berpegang kepada nilai-nilai kemasyarakatan, memahami kepentingan demokrasi dan sivik dalam kenegaraan.

Zulkifli berkata antara kemahiran abad ke-21 yang ditekankan hari ini ialah kesedaran global, literasi kewangan, kesedaran kesihatan dan kesedaran sivik. –  BERNAMA

(Visited 115 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button