fbpx
Politik

Ubah sistem pilihan raya, pecah ‘siling kaca’ wanita dalam politik – Ketua wanita PKR

WANITA PKR hari ini mencadangkan beberapa perubahan dalam sistem pilihan raya bagi memecahkan ‘siling kaca’ bagi wanita dalam bidang politik di negara ini.

Ketuanya, Haniza Mohamed Talha berkata antaranya ialah cadangan melantik lebih daripada seorang wakil untuk sebuah kawasan seperti Perwakilan Berkadar Dengan Senarai Parti, iaitu calon dinamakan dalam bentuk senarai dan calon wanita boleh dinamakan secara selang-seli di samping calon lelaki.

“Satu daripada faktor penting yang menyebabkan kemunduran Malaysia, meskipun pengikut piawaian Asia Tenggara, adalah sistem pilihan raya Sistem Wakil Tunggal dengan Undi Terbanyak.

“Oleh kerana setiap kawasan pilihan raya hanya boleh mencalonkan seorang calon, usaha untuk menamakan lebih banyak calon wanita sudah tentunya menghadapi rintangan daripada ramai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) lelaki atau pemimpin lelaki yang berhasrat menjadi calon,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Tahunan Wanita PKR 2019 di sini hari ini.

Berucap di hadapan kira-kira 500 perwakilan pada kongres yang bertema ‘Kepimpinan Wanita: Kepimpinan Untuk Semua’ bagi sayap itu, beliau berkata Wanita PKR pada 22 Mei lalu telah membawa cadangan ADUN Tanpa Kawasan bagi Wanita kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.


Untuk menjayakan agenda itu, Haniza berkata Wanita PKR mahu semua negeri mewujudkan wakil Kerusi Tanpa Kawasan di samping sistem sedia ada, sekali gus membolehkan perlaksanaan kuota untuk wanita dan golongan yang kurang perwakilan seperti orang asli/asal dan orang kelainan upaya (OKU).

Selain itu, Wanita PKR turut mengesyorkan setiap satu daripada dua lantikan senator Dewan Negara daripada setiap negeri adalah wanita bagi menambah perwakilan wanita dalam Dewan Negara.

Berkongsi data yang disediakan Interparlimentary Union (IPU) mengenai bilangan ahli parlimen wanita, beliau berkata sistem Campuran Wakil Berkadar (MMP) dengan dua kertas undi harus diperkenalkan di negara ini.

“Wanita perlu diberi peluang bersaing secara saksama dengan lelaki, dalam perangkaan sistem demokrasi perwakilan yang sebenar. Kami berharap Kerajaan Malaysia akan mengambil langkah gagah ini dalam pemberdayaan wanita dan melalui bidang politik,” katanya.

Menyentuh tentang perkembangan Wanita PKR, Haniza berkata sayap itu telah mencapai keahlian seramai 369,959 orang, iaitu kira-kira 51 peratus daripada jumlah ahli di seluruh Malaysia pada masa ini.

Mengenai usaha bagi memantapkan lagi sayap itu, Haniza berkata Wanita PKR telah merangka empat teras utama dalam pelan pembangunan wanita iaitu persediaan menempuhi cabaran IR4.0, memperkasakannya dari segi ekonomi, memperkukuh kedudukan dalam masyarakat dan mewujudkan lebih ramai pemimpin wanita.

“Untuk memastikan keberkesanan kesemua empat teras tersebut, Indeks Pencapaian Utama (KPI) akan dirangka untuk mengukur dan memantau prestasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan keputusan pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai perlu dijadikan pengajaran kepada Pakatan Harapan (PH) dan menjadi contoh terbaik untuk parti memahami frasa ‘Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh’.

“Sebaiknya, dengan kekalahan berturut-turut semasa pilihan raya kecil, kita perlu insaf dan kembali ke perjuangan asal kita, iaitu ‘Berjuang untuk rakyat, bukan untuk diri kita sendiri’,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang medianya Haniza berkata cadangan penambahbaikan sistem pilihan raya itu telah dimajukan kepada Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) untuk dibentangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kami berharap semua cadangan yang kami usulkan ini akan dapat dilaksanakan pada PRU (pilihan raya umum) akan datang,” katanya. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button