fbpx
Politik

ADUN PBS, STAR berkumpul di Magellan

SEMUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) telah berkumpul di Hotel Magellan Sutera, Kota Kinabalu, sejak pagi tadi. Perkara itu telah disahkan oleh Presiden STAR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan.

Bagaimanapun beliau berkata, tujuan mereka berkumpul adalah sebagai persediaan untuk pergi ke Istana Negeri.

“Kami di sini sebagai persediaan untuk ke Istana Negeri, siapkan dokumen yang diperlukan sebelum kami bergerak ke sana pada bila-bila masa,” katanya ketika kepada pemberita.

Hadir sama dalam kumpulan itu ialah beberapa ADUN Perikatan Nasional (PN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Secara tidak langsung itu menafikan dakwaan bahawa mereka melompat ke Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk membentuk kerajaan negeri baharu.


Antara ADUN PBS yang kelihatan ialah ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; ADUN Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam dan ADUN Matunggong, Julita Majungki.

Manakala ADUN dari STAR yang kelihatan ialah ADUN Sook, Datuk Ellron Angin; ADUN Bingkor, Robert Tawik dan ADUN Paginatan, Datuk Abidin Madingkir.

ADUN Kuamut,Datuk Masiung Banah yang merupakan ADUN Bebas, turut hadir.

Menurut Jeffrey, mereka akan ke Istana Negeri untuk menyaksikan upacara angkat sumpah Ketua Menteri Sabah yang baharu apabila semuanya selesai.

“Kalau hari ini selesai semua urusan, kita akan ke Istana Negeri pada hari ini juga,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan siapakah Ketua Menteri yang akan mengangkat sumpah. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button