Bola SepakSukan

Tottenham menjadi bahan ejekan penaja sendiri

PRESTASI merudum yang dipamerkan Tottenham sejak kebelakangan ini, telah menjadi bahan ejekan penaja rasmi kelab itu.

Spurs mengumumkan Dulux sebagai pembekal cat rasmi kelab itu sebelum syarikat berkenaan meraikan kerjasama tersebut dengan mengejek mereka menerusi Twitter.

Mereka mempersendakan Tottenham dengan mempersoalkan benteng pertahanan pasukan itu dan juga almari trofi kelab yang kosong tanpa sebarang piala.

Jamie Redknapp menyelar Jose Mourinho kerana menjadikan permainan Spurs membosankan, tetapi walaupun ia seperti menunggu cat sehingga kering sekalipun, perbuatan Dulux dalam media sosial itu sesuatu yang keterlaluan.

Dengan menyertakan sekali imej anjing Dulux di Stadium Tottenham Hotspur, Spurs menerusi kicauan di Twitter berkata: “Kami gembira mengumumkan @duluxuk, jenama cat nombor satu negara menjadi Pembekal Rasmi Cat pertama kelab.”

Salah seorang peminat yang nakal membalas: “Mampukah anjing bermain di posisi bek tengah?”
Pentadbir media sosial yang mengendalikan akaun Dulux membalas pertanyaan tersebut dengan menjawab:

“Anjing itu mungkin melaksanakan tugasnya dengan lebih baik Chris.”

Kicauan Twitter tersebut kemudiannya telah dipadam dan para peminat turut mempersoalkan niat disebalik kenyataan tersebut.

Mourinho turut diminta mengulas mengenai insiden yang berlaku membabitkan penaja tersebut sewaktu sidang akhbar, tetapi bos warga Portugal itu kelihatannya tidak menyedari drama yang berlaku dan dia menjawab: “Apakah itu?”

Dengan Spurs bakal berdepan Manchester City pada perlawanan akhir Piala Liga, hujung bulan ini, salah seorang peminat mencadangkan pertemuan itu mungkin peluang terbaik untuk mewarnakan almari trofi kelab.

Namun apa yang mengejutkan, Dulux membalas dengan menyertakan gambar almari kosong bersama lencana Spurs di samping mesej ‘Untuk Dijual’ sebelum sekali lagi memadam foto tersebut.

Tottenham tidak memenangi sebarang trofi sejak kejayaan merangkul Piala Liga pada 2008, tetapi mereka berpeluang menamatkan kemarau penantian selama 13 tahun itu pada 25 April ini.

Satu lagi maklum balas peminat yang menyatakan kabinet yang ‘berhabuk’ boleh dicat semula, tetapi Dulux menjawab dengan berkata: “Jangan jadi bodoh, permukaan almari perlu dibersihkan daripada habuk sebelum dicat.”

Media sosial kemudiannya menjadi kecoh dengan peminat saling membalas komen apabila kenyataan ejekan itu menjadi tular.

Nama Dulux menjadi trending dalam Twitter di United Kingdom. Malah, peminat turut mengejek maskot Arsenal Gunnersaurus telah kembali semula bekerja dengan menyertai pasukan media sosial Dulux selepas maskot itu pernah dipecat oleh Gunners sewaktu pandemik.

Dulux kemudiannya membuat permohonan maaf kepada peminat Spurs dan berjanji untuk menyiasat insiden yang telah terjadi.

Menerusi kenyataan yang disiarkan dalam Twitter, Dulux menjelaskan: “Kami memohon maaf diatas kicauan yang telah disiarkan daripada Dulux pada pagi ini sebagai maklum balas kepada pengumuman jalinan kerjasama kami dengan @SpursOfficial.

“Kejadian yang berlaku sama sekali tidak mencerminkan betapa berbangganya kami menjadi Pembekal Rasmi Cat kelab.

“Kami akan menyiasat apa yang telah berlaku dan memohon maaf kepada peminat Spurs.”

Menerusi akaun rasmi Tottenham pula kelihatannya memberi isyarat segala apa yang berlaku telah diselesaikan dengan baik apabila mereka membalas permohonan maaf tersebut dengan nada gurauan dan berkata: “Kita akan menjadikan ia lebih berkilat kali ini…”

Dulux kemudian menjawab kembali dengan menambah: “Gembira kita berjaya selesaikan dengan baik.” – The Sun – SM

(Visited 165 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button