NasionalpilihanSukan

Sukan Orang Asli medan cungkil bakat baru untuk negara

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) terus melaksanakan pelbagai agenda untuk masyarakat orang asli menerusi peruntukan sebanyak RM 274 juta.

Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, menerusi peruntukan tersebut, JAKOA turut meningkatkan bakat baru dalam bidang sukan sekaligus mampu melahirkan atlet untuk negeri dan negara dalam pelbagai kejohanan pada masa hadapan.

Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad berucap pada Majlis Perasmian Karnival Orang Asli Peringkat Kebangsaan di Universiti Islam Antarabangsa, Kampus Indera Mahkota, Kuantan. Foto: UKK KPLB

“Penganjuran karnival sukan ini membuka peluang kepada belia dan beliawanis Orang Asli terlibat secara langsung dalam bidang sukan selain merapatkan hubungan silaturrahim antara masyarakat orang asli melalui sukan”.

Abdul Rahman berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Orang Asli Peringkat Kebangsaan di Universiti Islam Antarabangsa, Kampus Indera Mahkota, Kuantan. Turut hadir, Ketua Pengarah JAKOA, Puan Sapiah Mohd Nor.

Beliau menambah karnival yang diadakan ini juga mampu untuk dijadikan sebagai medan dalam menghasilkan atlet-atlet yang berpotensi untuk diketengahkan pada temasya sukan sama ada pada peringkat negeri atau kebangsaan seperti SUKMA.

“Kita tahu corak kehidupan orang asli ini yang banyak tinggal di kawasan pinggir bandar dan di dalam hutan selain sering berjalan kaki serta menggunakan kudrat untuk aktiviti pertanian dan sebagainya mampu untuk membentuk stamina yang luar biasa di kalangan kaum-kaum lain.

Hasrat kita adalah untuk menjadikan karnival ini sebagai satu lonjakan untuk belia dan beliawanis terlibat secara serius dalam bidang sukan selain mampu mewakili negeri masing-masing dalam kejohanan yang besar”, ujar beliau lagi.

Karnival yang dianjurkan selama 2 hari ini mempertandingkan acara seperti bola sepak, bola jaring, sepak takraw dan menyumpit.

Seramai 535 orang atlet dan jurulatih serta urus setia yang terlibat sepanjang penganjuran karnival sukan ini. Sehingga kini, seramai 3 atlet dari masyarakat Orang Asli meraih kejayaan di persada sukan antarabangsa.

“Atlet tersebut adalah Zumika Azmi, 19 dan Sasha Azmi,17 yang berasal dari suku kaum Temiar dan berasal dari Gua Musang Kelantan ini aktif bersukan sejak dari sekolah lagi sehingga berjaya mewakili Malaysia dalam sukan kriket. Kedua-adik beradik yang merupakan pemain skuad negara kini menjalani latihan bersama jurulatih Thushara Prabath Kodikara sejak bulan Ogos lalu serta membantu skuad kriket negara meraih pingat gangsa acara T20 Sukan SEA menewaskan Singapura dengan 52 larian menerusi sembilan over.

Manakala Norashikin Mohamad Sayed Gadis merupakan anak orang asli pertama yang mewakili negara dalam Sukan Layar. Pencapaiannya juga sangat memberangsangkan apabila dia memperoleh pingat perak Sukan Asia China 2010, pingat emas Kejohanan Kapal Layar Asia di China 2010, pingat gangsa Sukan SEA Myanmar 2012, pingat emas Sukan SEA Singapura 2015 dan pingat perak Sukan SEA KL 2017”, ujar beliau lagi.

Secara keseluruhannya, kontinjen Pahang mengungguli Karnival Sukan Orang Asli Kebangsaan dan dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan. – SM

Artikel berkaitan > Perlu tubuh persatuan mahasiswa Orang Asli di semua universiti awam

(Visited 403 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button