Bola SepakSukan

Ronaldo diibarat ‘hantu’ di atas padang

PRESTASI semasa Cristiano Ronaldo mencetuskan kebimbangan ramai pihak di Itali. Pemain hadapan Portugal itu kelihatan marah kepada dirinya sendiri selepas perlawanan Serie A bersama Juventus dan prestasi merudum Ronaldo di depan pintu gol kini menjadi perbualan ramai.

Bintang yang menyarung jersi No. 7 itu masih gagal meledakkan sebarang gol dalam tiga perlawanan berturut-turut dan ketumpulannya di depan gawang sejak aksi menentang Napoli pada 7 April lalu.

Sejak itu, perasaan kurang menyenangkan mula mengganggu Ronaldo dan dia kini berdepan prestasi terburuk sejak musim pertamanya di Itali.

Sebelum ini, kecederaan menyebabkan dia tidak dapat beraksi dalam enam perlawanan dan sejak itu, pemain tersebut gagal menemui sentuhan jaringannya.

“Pasukan kelihatan tidak memiliki persefahaman, tanpa gaya, tanpa jiwa dan Cristiano seperti hantu di atas padang,” tulis Corriere della Sera dan menambah bekas bintang Real Madrid itu seperti tidak berminat untuk bermain.

Namun, kebimbangan yang disuarakan buat Cristiano agak keterlaluan dalam satu laporan oleh La Gazzetta dello Sport apabila bertanya: “Cristiano, anda masih berada di sana?”

Sewaktu Juventus seri 1-1 di Fiorentina, Ahad lalu, bintang Portugal itu gagal memanfaatkan peluang menerusi hantaran lintang oleh Dejan Kulusevski pada minit ke-84, yang sepatutnya mampu menghadiahkan kemenangan buat pasukannya.

Sekali lagi, Ronaldo gagal menyerlah untuk Juventus dan dia meninggalkan Florence tanpa sebarang percubaan tepat ke pintu gol.

Satu mata yang dikutip menyaksikan Juventus menghuni kedudukan keempat dalam Serie A, dengan Atalanta meraih mata penuh setelah menewaskan Bologna, manakala AC Milan tunduk 0-3 ditangan Lazio, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Napoli pula mendaki ke kedudukan ketiga dan berkongsi 66 mata dengan Juventus setelah mengalahkan Torino 2-0 di laman lawan, hari ini.

Menurut laporan Tuttosport, masa depan Ronaldo kini diragui jika Juventus gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.

“Jika mereka tidak layak ke Liga Juara-Juara, Juventus tidak mampu untuk membayar gajinya dan dia mungkin terpaksa mencari cabaran lain di Manchester (bersama Manchester United) atau di Paris (bersama Paris Saint-Germain),” jelas laporan itu.

Jurulatih, Andrea Pirlo sekali lagi mempertahankan pemain No. 7 itu.

“Saya tidak fikir Ronaldo bermain buruk. Dia memiliki beberapa peluang dan secara umumnya, persembahannya tidaklah teruk. Pasukan yang sepatutnya mencipta lebih banyak ruang untuk menyerang dan kami dapat melihatnya dalam babak kedua,” kata Pirlo. – Marca – SM

(Visited 173 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button