Nasional

Tiada kompromi syarikat gagal kemuka resit pembelian-KPDN

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang gagal mengemukakan resit pengguna ke atas apa-apa pembelian barang atau perkhidmatan jika diminta oleh pengguna.

KPDN telah mengambil tindakan ke atas sebuah syarikat pengurusan bangunan kediaman di Petaling Jaya, Selangor kerana gagal mengemukakan resit sebagai bukti pembayaran berhubung kerja-kerja penyelenggaraan yang telah dibuat kepada pengadu pada 17 Mei 2023.

PEGAWAI penguatkuasa KPDN memeriksa resit pengguna ke atas pembelian yang dilakukan oleh sebuah syarikat di Petaling Jaya, Selangor. – GAMBAR IHSAN KPDN

Ketua Pengarahnya, Datuk Azman Adam berkata, siasatan telah dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Petaling Jaya ke atas aduan yang dikemukakan oleh pengadu yang merupakan salah seorang daripada penduduk di bangunan kediaman tersebut berikutan kegagalan pihak pengurusan syarikat untuk mengemukakan resit pembayaran ke atas cas penyelenggaraan bangunan.

“Hasil siasatan mendapati pihak pengurusan bangunan berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 140(2) Akta Pelindungan Pengguna 1999 kerana gagal memberikan resit kepada pengguna bagi perkhidmatan penyelenggaraan bangunan dan telah dikenakan kompaun di bawah Seksyen 146 Akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan boleh diambil di bawah peruntukan undang-undang Akta Pelindungan Pengguna 1999 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan.

Manakala bagi perseorangan tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

Beliau berkata, pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung isu yang berkaitan boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian.

“Mereka ini boleh dibawa ke mahkamah,” katanya. – SM

 

(Visited 139 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button