Nasional

Terdapat majikan yang sudah bayar gaji minimum RM1,500

PETALING JAYA: Terdapat majikan sudah membayar pekerja mereka dengan cadangan gaji minimum RM1,500 walaupun ia belum diwajibkan lagi, menurut menteri sumber manusia M Saravanan.

Beliau berkata ketika kerajaan masih mengkaji dan memuktamadkan gaji minimum baharu, Aeon Co (M) Bhd dan Westports Holdings Bhd telah melaksanakannya.

Sambil merakamkan penghargaan kepada kedua-dua syarikat itu, Saravanan menggesa pihak lain untuk mencontohi mereka.

“Saya ingin menyeru majikan lain untuk mengambil pendekatan Aeon dan Westports dalam menawarkan gaji pekerja melebihi gaji minimum semasa iaitu RM1,200,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua syarikat itu telah menunjukkan contoh yang baik dalam menangani masalah pekerja mereka, walaupun dalam keadaan ekonomi semasa akibat pandemik Covid-19.

Aeon sebelum ini mengumumkan kenaikan gaji minimum pekerjanya berkuat kuasa 1 Jan. Ia kini mempunyai 11,000 pekerja di 202 pasar raya dan kedai perniagaan lain, menurut laman webnya.

Secara berasingan, dalam satu kenyataan bulan lepas, pengendali pelabuhan dan syarikat pengurusan kargo Westports berkata ia mencatatkan keuntungan bersih 23.5% kepada RM808.22 juta pada tahun kewangan berakhir Disember 2021, meningkat daripada RM654.49 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Saravanan sebelum ini berkata gaji minimum “sekitar RM1,500 sebulan” dijangka dilaksanakan sebelum akhir tahun ini. Ia sedang menunggu kelulusan Kabinet, katanya.

Bagaimanapun, Persekutuan Majikan Malaysia berkata cadangan kenaikan itu akan membunuh perniagaan, yang masih dalam mod pemulihan ekonomi.

Presidennya, Syed Hussain Syed Husman, berkata kebanyakan perniagaan tidak berada dalam kedudukan untuk melaksanakan cadangan gaji minimum baharu itu kerana mereka masih terkial-kial akibat kejutan ekonomi akibat wabak dan banjir pada akhir tahun lalu.

Gaji minimum kali terakhir dinaikkan pada Februari 2020, daripada RM1,100 kepada RM1,200 sebulan.

 

(Visited 198 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button