Politik

Sabah, Sarawak ‘key states’ untuk Muhyiddin

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sedang berhadapan cabaran dalam mengukuhkan kedudukannya dalam kerajaan.

Hal demikian dilihat apabila antara cabarannya adalah berhadapan dengan UMNO yang dilihat akhir-akhir ini mengutamakan pendiriannya berbanding sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Keadaan sedemikian menyebabkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu perlu mendapatkan sokongan Sabah dan Sarawak.

“Cabaran lain yang terpaksa dihadapi oleh Tan Sri Muhyiddin ialah isu politik yang boleh memberikan kesan kepada kedudukannya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Sabah dan Sarawak sekali lagi menjadi key states yang boleh menentukan survival politik Tan Sri Muhyiddin Yassin.”

Demikian kata penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Arnold Puyok, dipetik laporan portal MalaysiaGazette hari ini.

Menurut beliau kedua-dua negeri di luar Semenanjung itu bukan setakat meluaskan pengaruh disana, bahkan bakal memberi kekuatan kepada Bersatu dalam Parlimen.

Seperti di Sarawak, kira-kira 20 kerusi Parlimen milik Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah signifikan terhadap Bersatu.

Malah, beberapa jawatan dalam Kabinet juga diberi kepada Sabah dan Sarawak ketika pembentukannya pada 9 Mac lepas.

“Walaupun portfolio seperti ini bukanlah satu perkara yang baharu.

“Namun ia dilihat sebagai usaha Muhyiddin di dalam mengetengahkan Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Bagaimanapun, sokongan Sabah dan Sarawak terhadap Muhyiddin pula dapat dinilai menerusi kesungguhan Ahli Parlimen Pagoh untuk menyelesaikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ini kerana, kata Arnold, belum ada dasar yang jelas mengenai hala tuju dalam kepimpinan Muhyiddin dalam menentukan kedudukan MA63.

Justeru persoalan timbul mengenai bagaimana pendekatan yang akan digunakan oleh beliau sebagai Perdana Menteri untuk menangani isu MA63.

“Adakah Muhyiddin akan meneruskan usaha yang telah dirintis oleh kerajaan terdahulu?

“Adakah Muhyiddin akan mengambil pendekatan yang berlainan tetapi lebih strategik dan pragmatik?” soalnya.

Terdahulu, Suara Merdeka melaporkan pelancaran PN yang sepatutnya berlangsung pada minggu lalu ditunda.

Antara alasan yang dikenalpasti adalah belum ada penyelesaian dalam pergeseran antara UMNO dan Bersatu terutama melibatkan penentuan kerusi antara kedua-dua parti dalam PRU-15 nanti.

Malah, krisis dalam menentukan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah juga dipercayai belum dimuktamadkan antara kedua-dua parti itu.

Bagaimanapun, dalam Suara Merdeka hari ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa menjelaskan BN akan menggunakan bendera dacing dalam PRN itu nanti.  – SM

(Visited 167 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button