Nasionalpilihan

Tengku Hassanal berangkat hadiri Festival Warisan dan Pelancongan Melaka-Pahang 2023

MELAKA 2 Nov. – Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Tengku Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al Mustafa Bilah Shah mencemar duli menghadiri Festival Warisan dan Pelancongan Melaka-Pahang 2023 di Muzium
Istana Kesultanan Melayu Melaka, Banda Hilir di sini malam tadi.

Keberangkatan tiba Tengku Hassanal kira-kira pukul 8.45 malam disambut Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Ab. Rahman diiringi paluan rebana dan persembahan silat.

Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sejurus selepas itu baginda turut menyaksikan persembahan kebudayaan dan nyanyian daripada kedua-dua negeri melalui Institut Warisan Melaka (INSWA), Briged Seni Melaka, Badan Kebudayaan dan Kesenian Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan
Kumpulan Kesenian Negeri Pahang.

Ab. Rauf dalam ucapannya berkata, program silang budaya antara kedua-dua negeri itu diadakan bersempena dengan Program Menjunjung Kasih Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong,
Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurutnya, majlis itu diadakan adalah manifestasi penghargaan yang setulusnya daripada rakyat negeri ini terhadap baginda yang akan menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Ke-16 pada Januari tahun depan.

“Penganjuran festival ini juga sebagai citra junjungan kasih patik serta sekalian rakyat Melaka terhadap kebijaksanaan, kecaknaan dan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sepanjang pemerintahan baginda yang sentiasa berjiwa rakyat dan menjadi sanjungan seluruh lapisan rakyat jelata.

“Bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat Melaka, kami berasa bertuah dan amat bangga terhadap kebijaksanaan dan kewibawaan baginda sebagai seorang Raja apabila berjaya menyelesaikan banyak perihal membabitkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan
sepanjang tempoh pemerintahan.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku juga bukan sahaja dikenali sebagai seorang Raja yang sangat berjiwa rakyat, malah amat prihatin dalam memayungi usaha-usaha kebajikan dan kesejahteraan terhadap seluruh rakyat jelata,” ujarnya.

Terdahulu Wan Rosdy dalam ucapannya pula berkata, festival tersebut merupakan satu program yang amat bermakna, di mana ia secara langsung memberi peluang kepada kedua-dua negeri untuk menyatukan kekayaan warisan budaya yang melibatkan kesenian, tarian tradisional, muzik dan juga makanan.

Menurutnya, menerusi Festival ini juga, ia merupakan satu platform di mana kita dapat mempromosikan lokasi-lokasi pelancongan menarik antara kedua-dua negeri kepada seluruh rakyat jelata.

“Sebagai contohnya di Pahang kami mempunyai Tarian Gamelan, Tarian Piring dan Tarian Labi-Labi, Gendang Pahang, Joget Pahang serta masakan Ikan Patin Tempoyak dan Asam Rong,” ujarnya.
– SM

(Visited 40 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button