fbpx
Nasional

Perbicaraan kes SRC: Pendakwaan mohon cabar kredibiliti Najib

PENDAKWAAN kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memohon untuk mencabar kredibiliti bekas perdana menteri itu berikutan percanggahan dalam keterangannya di mahkamah dan kenyataan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram membuat permohonan itu di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti Najib mengikut Seksyen 145 dan 155 Akta Keterangan.

Sebelum itu, Najib bersetuju dengan Sithambaram bahawa terdapat percanggahan serius dalam keterangannya dan apa yang dicatatkan oleh SPRM.

Sithambaram telah menyoal Najib sama ada beliau bersetuju bahawa terdapat percanggahan serius dalam apa yang beliau nyatakan dalam kenyataan saksi dan apa yang dicatatkan oleh SPRM apabila disoal suruhanjaya itu semasa siasatan berhubung kes rasuah membabitkan SRC.

Kepada soalan lain, Najib mengakui bahawa apa yang beliau katakan kepada SPRM dan apa yang beliau nyatakan di mahkamah, amat berbeza.


Bagaimanapun, Najib berkata terdapat alasan berhubung perkara itu. Beliau cuba menjelaskannya, tetapi Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan bahawa beliau mempunyai peluang untuk berbuat demikian kemudian.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Harvinderjit Singh berkata anak guam mereka telah menjelaskan perbezaan dalam pernyataannya yang dicatatkan oleh SPRM.

Selepas perbicaraan berehat sebentar, mahkamah menolak permohonan pendakwaan itu dengan hakim mengatakan bahawa tidak ada percanggahan material dalam pernyataan Najib kepada SPRM dan keterangannya di mahkamah.

“Tiada alasan untuk pihak pendakwaan meneruskan proses pencabaran … oleh itu pendakwaan boleh meneruskan pemeriksaan balas,” kata hakim itu.

Ahli Parlimen Pekan itu kemudiannya ke tempat duduk saksi dan beliau kemudiannya disoal balas oleh Sithambaram.

Pada 11 Nov lepas, mahkamah memerintahkan Najib, 67, membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Nazlan bersambung. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button