Nasional

Selangor paling lembap beri vaksin, bekalan mencukupi – KJ

Kerajaan Negeri Selangor dilihat lembap dalam pemberian vaksin kepada rakyat di negeri itu.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, ketika ini semua negeri memberikan lebih 80 peratus bekalan vaksin kepada penduduk kecuali Selangor.

Khairy berkata, kadar penggunaan vaksin di Selangor hanya 76 peratus sahaja.

“Setakat semalam kadar penggunaan yang paling tinggi adalah Melaka 94 peratus, Terengganu 92 peratus, Negeri Sembilan 92 peratus.

“Semua negeri lebih 80 peratus kecuali Selanggor,” kata Khairy Jamaluddin.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu turut menafikan dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud kononnya bekalan vaksin untuk negeri itu tidak mencukupi.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat pada 7 Jun Selangor menerima 1,367,306 dos vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

Negeri itu kini mempunyai baki 322,606 dos vaksin yang mencukupi hingga hujung bulan ini berdasarkan kapasiti vaksin sebanyak 40,000 sehari seperti yang dimaklumkan oleh negeri itu.

“Jadi tuduhan vaksin belum dihantar di negeri Selangor tidak betul. YB Exco ada buat kenyataan. Kita hantar vaksin memang ada baki di Selangor. Kita mahu hantar lebih banyak vaksin.

“Tetapi kita tengok kepada kapasiti mereka. Saya bermesyuarat dengan MB Selangor dua minggu lepas, Kerajaan Negeri sendiri sebut kapasiti Selangor untuk bulan Jun adalah 40,000 sahaja setiap hari.

“Exco Kerajaan Negeri tidak hadir masa perjumpaan. Kita bagi bekalan ikut kapasiti tersebut. Saya tidak pasti exco dapat angka itu daripada mana,” kata Khairy Jamaluddin.

Beliau menegaskan pihaknya akan membekalkan vaksin yang mencukupi bagi sasaran suntikan 130,000 sehari di negeri tersebut.

Justeru beliau berharap, negeri Selangor dapat capai kapasiti 100,000 dos sehari pada bulan Julai.

“Sasaran kita kepada setiap negeri pada bulan Julai kadar penggunaan adalah 90 peratus. Maksud bila vaksin sampai perlu guna secepat mungkin. Jangan simpan dalam peti sejuk sebab vaksin akan sampai setiap minggu,” kata Khairy Jamaluddin.

Khairy Jamaluddin berkata, bagi mempertingkatkan pemberian vaksin Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) akan memperbanyakan Pusat Pemberian Vaksin di setiap daerah.

“Saya usahakan Selangor dapat tingkatkan kapasiti.  Sebab itu kita buka PPV yang besar sebab kita nampak usaha di Selangor agak lembab walaupun ada vaksin tapi banyak vaksin tidak digunakan.

“Jadi CITF Persekutuan buat keputusan buka lebih banyak PPV. Bukan hanya PPV mega tetapi kecil macam Tanjung Karang ini. Kita buka supaya kapasiti dipertingkatkan,” kata Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata demikian selepas hadir pembukaan Pusat Pemberian Vaksin Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang Tg. Karang. Turut hadir Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar.

Sebelum ini Dr. Mariah dalam ciapannya di Twitter berkata, beberapa PPV di Selangor akan ditutup kerana bekalan vaksin akan kehabiasan.

Menurutnya kapasiti vaksinasi semasa di Selangor adalah sebanyak 87,616.

“AV tidak ada kekosongan diberikan 50,000 setiap hari untuk dos pertama dan 20,000 untuk dos ke-2. Seimbangkan 20,000 dos. Sekiranya tidak ada vaksin tambahan yang tiba esok, beberapa PPV akan ditutup,” ciap Dr Mariah.-SM

 

(Visited 383 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button