Nasional

Kerajaan beri rebat tambahan tarif eletkrik

Kerajaan membiayai pemberian rebat tambahan tarif elektrik yang membabitkan peruntukan sebanyak RM493 juta.

Rebat tambahan itu hingga akhir tahun itu adalah menyedari beban yang ditanggung oleh rakyat ketika penularan wabak Covid-19.

Buat pertama kali juga sektor komersial iaitu pengguna bukan domestik turut diberikan rebat iaitu bagi pengguna-pengguna di Kulim High Technology Park (KHTP) yang mendapat bekalan elektrik daripada NUR Power Sdn. Bhd.

Berikut kenyataan penuh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli:

Selaras dengan pelaksanaan mekanisme penetapan tarif elektrik di Semenanjung yang telah dilaksanakan sejak tahun 2014, pelarasan kos-kos penjanaan elektrik perlu dilaksanakan setiap 6 bulan melalui mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT).

Bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021, kos ICPT yang perlu diselaraskan adalah berjumlah RM638.98 juta.

Ini bermakna bahawa kadar rebat elektrik yang boleh dilepaskan kepada pengguna ialah sebanyak 1.13 sen/kWj berbanding kadar rebat bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 iaitu 2.00 sen/kWj. Peningkatan kos ICPT berlaku berikutan peningkatan kos pembekalan gas dan arang batu bagi tempoh Januari hingga Jun 2021.

Walau bagaimanapun, dengan mengambil kira cabaran dan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuat kuasakan bagi mengekang penularan pandemik Covid 19, Kerajaan telah bersetuju untuk membiayai pemberian rebat tambahan sebanyak 0.87 sen/kWj yang melibatkan peruntukan sebanyak RM493 juta melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

Oleh itu, semua pemilik akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dianggarkan seramai 9.44 juta pengguna akan terus menikmati rebat elektrik sebanyak 2.00 sen/kWj bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021. Pemberian rebat tambahan ini membolehkan semua pemilik akaun TNB menikmati purata diskaun sebanyak 5% bagi tempoh tersebut.

Bagi pengguna-pengguna di Kulim High Technology Park (KHTP) yang mendapat bekalan elektrik daripada NUR Power Sdn. Bhd., Kerajaan juga bersetuju untuk memberi rebat elektrik sebanyak 2.00 sen/kWj kepada pengguna bukan domestik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021.

Ini merupakan kali pertama pengguna bukan domestik di KHTP menikmati rebat elektrik sejak mekanisme penetapan tarif Incentive-Based Regulations dilaksanakan pada tahun 2017. Pemberian rebat ini dilaksanakan berikutan berlakunya penurunan harga bahan api gas dan bekalan elektrik pukal TNB pada separuh tahun pertama 2021 serta penjimatan daripada pelarasan kos sebenar bahan api bagi tempoh Julai hingga Disember 2020.

Selain pembiayaan rebat tambahan ini, Kerajaan telah bersetuju untuk memberi diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna-pengguna domestik dan bukan domestik bagi tempoh Julai hingga September 2021 untuk Semenanjung dan Sabah.

Perkara ini akan diumumkan oleh YAB Perdana Menteri.

Justeru apa yang saya umumkan hari ini berbeza berbanding diskaun. Namun penting kerana Kerajaan telah bersetuju membelanjakan RM493 juta agar tidak berlaku kenaikan tarif elektrik, dan mengekalkan sebagaimana sekarang.

KeTSA juga ingin memaklumkan bahawa golongan miskin tegar dengan pendapatan RM1,169 ke bawah yang berdaftar di dalam Sistem e-Kasih adalah layak mendapat rebat bil elektrik RM40. Sehingga Mei 2021, jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak ialah 282,182. Walau bagaimanapun, hanya 113,745 iaitu 40.31% daripada KIR yang layak telah  mengemas kini nombor akaun bil elektrik mereka. Oleh itu, saya menyeru agar mereka yang layak untuk mengemas kini nombor akaun dengan pihak utiliti bagi membolehkan mereka menikmati rebat bil elektrik berkenaan.

(Visited 129 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button