Nasionalpilihan

Tangani masalah mental: Annuar Musa jumpa penduduk, NGO dan pakar kesihatan

KEBELAKANGAN ini, kes berkaitan dengan masalah mental sering menjadi paparan di media sosial terutamannya ketika negara sedang berdepan pandemik.

Kesempitan hidup rakyat dan peningkatan kes masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat terutama di dalam kawasan bandar seperti di Kuala Lumpur merupakan masalah yang serius dan perlu ditangani dengan segera.

Peka dengan masalah yang dihadapi, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa telah mengambil insiatif untuk bertemu dengan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar kesihatan mental untuk membincangkan isu kesihatan mental.

“Pertama, kita telah melakukan perjumpaan secara maya dengan 70 orang wakil Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) yang mewakili setiap zon dan subzon di WP

“Pelbagai input telah disampaikan termasuk bagaimana MPP boleh memainkan peranan yang penting dalam mengenal pasti pihak yang memerlukan bantuan segera dan berisiko menghadapi tekanan
kesihatan mental,” katanya.


Menurut Annuar Musa, Pengerusi-pengerusi MPP juga menyatakan kesediaan untuk membantu penyampaian bantuan bakul makanan, penyelarasan senarai penerima bantuan, pengendalian dapur-dapur satelit dan bantuan kepada golongan yang terlantar di rumah (“bed-ridden”) mendapatkan vaksin.

Selain itu, perjumpaan secara maya selama dua jam dengan 39 individu yang terdiri daripada pakar-pakar kesihatan mental, kaunselor, pensyarah dan yang mewakili NGO yang berpengalaman membantu golongan dengan masalah kesihatan mental turut dilakukan.

“Pelbagai cadangan telah diberikan termasuk antaranya, untuk mewujudkan pusat kesihatan mental bergerak, penggunaan media sosial sebagai platform kesedaran kesihatan, menganjurkan webinar dan menyediakan akses kepada bantuan psikologi di peringkat awal gejala kesihatan mental.

“Pertemuan dengan NGO pula adalah berkaitan dengan sumbangan tenaga dan dana dalam usaha untuk membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Mereka juga telah bersetuju untuk menyokong inisiatif Rumah Prihatin, iaitu inisiatif terbaru penyampaian bantuan kepada warga Wilayah Perseketuan yang saya umumkan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata pihaknya akan mempertimbangkan setiap cadangan dan akan berusaha melaksanakannya secepat mungkin.

Tambahnya, usaha-usaha membantu warga WP akan sentiasa diperkasa dari semasa ke semasa dan penglibatan setiap anggota masyarakat dan golongan pakar amat penting bagi memastikan kemenangan bersama dalam perang melawan Covid19. -SM

(Visited 29 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button