MahkamahNasional

Diri Najib sendiri penyebab gagal dalam rayuan

MAHKAMAH Persekutuan memutuskan Datuk Seri Najib Razak sendiri yang sebenarnya menjadi penyebab prosiding rayuan beliau bagi kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd tidak didengar oleh panel hakim terdahulu.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat yang membacakan penghakiman majoriti 4-1 itu telah menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

“Tiada penafian hak pemohon (Najib) dan tiada pelanggaran keadilan dalam kes itu,” katanya.

Keputusan majoriti itu, bukan sebulat suara oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim itu membuat keputusan bertentangan.

Dalam penghakimannya, Ong berkata, peguam Najib sendiri yang enggan membuat penghujahan lisan sejak permulaan prosiding rayuan tahun lepas walaupun peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dibenarkan berbuat demikian oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hakim sebelim ini yang menolak rayuan itu.

Menyentuh mengenai penangguhan rayuan Najib yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan, Ong berkata, mahkamah mempunyai budi bicara mutlak untuk membenarkan atau tidak sebarang penangguhan dan panel terdahulu telah menggunakan budi bicara mereka secara bijaksana.

“Oleh itu, tiada merit untuk semakan keputusan itu,” katanya.

Mengenai permohonan Najib untuk semakan terhadap pelepasan peguamnya, Hisyam, daripada mewakilinya semasa rayuan tersebut, hakim itu berkata bahawa mahkamah mendapati perndapat pemohon bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan pelepasan peguam itu, tidak boleh dipertahankan kerana kuasa itu ada diperuntukkan dalam Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Sementara itu, mengenai permohonan Najib untuk semakan semula sabitan dan hukumannya, mahkamah memutuskan panel terdahulu telah mempertimbangkan 94 alasan rayuan, penghujahan bertulis dan keputusan mahkamah terdahulu yang mendengar kes Najib.

Oleh itu, penghakiman majoriti membuat kesimpulan bahawa tiada merit untuk semakan keputusan mahkamah terdahulu yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib, kata Hakim Ong lagi. – BERNAMA – SM

BACA Najib Razak masuk ward HKL bukan kes kecemasan

BACA Di sebalik tirai besi: Najib ke IJN untuk rawatan perubatan terbaik

(Visited 307 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button