Nasional

Lawatan rasmi PM ke Vietnam mulai esok amat signifikan – Zambry

HANOI: Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Vietnam mulai esok sebagai amat signifikan kerana tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 terjalinnya hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Beliau berkata ini merupakan lawatan rasmi pertama Anwar ke Vietnam sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November tahun lepas.

Zambry berkata lawatan itu juga adalah atas jemputan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh kepada Anwar semasa kedua-dua pemimpin menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 pada Mei lepas di Labuan Bajo, Indonesia.

“Lawatan ini adalah sangat signifikan dan bermakna kerana tahun ini adalah ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Vietnam yang terjalin sejak 30 Mac 1973.

“Lawatan ini juga adalah pengiktirafan kepada kerjasama dan hubungan mesra antara Malaysia dan Vietnam sejak lima dekad lalu,” katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang media di sini sempena lawatan itu.

Zambry berkata semasa lawatan itu juga, terdapat beberapa pertemuan penting antara Anwar dengan kepimpinan utama Vietnam termasuk Presiden Vo Van Thuong, Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam Ngunyen Phu Trong dan Pengerusi Dewan Rakyat Vietnam Vong Dinh Hue.

Beliau berkata pemimpin terbabit merupakan individu yang amat berpengaruh dalam struktur kepimpinan Vietnam.

“Kali ini Yang Amat Berhormat diberi peluang untuk bertemu dengan seluruh strata kepimpinan di Vietnam ini. Ini adalah satu pengiktirafan kepada Yang Amat Berhormat,” katanya.

Sempena lawatan itu, Zambry berkata Perdana Menteri dijangka menyaksikan pemeteraian Memorandum Kerjasama di antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dengan Dewan Perniagaan dan Industri Vietnam (VCCI).

Katanya memorandum itu dijangka mengukuhkan lagi jalinan kerjasama dua hala Malaysia dan Vietnam serta memberi faedah kepada pembangunan sosioekonomi kedua-dua negara yang menguntungkan rakyat.

Perdana Menteri serta rakan sejawatnya juga akan menyaksikan majlis menandatangani pengesahan dokumen minit hasil Mesyuarat ke-7 Suruhanjaya Bersama Antara Malaysia dan Vietnam (JCM-7) yang dipengerusikan bersama oleh Zambry dan Menteri Hal Ehwal Luar Vietnam Bui Thanh Son.

Zambry berkata suruhanjaya itu, yang merupakan antara mekanisme dua hala yang utama bertujuan membincangkan isu berkepentingan bersama di peringkat Menteri Luar, telah diwujudkan sejak 1992 susulan pemeteraian Perjanjian Ekonomi, Saintifik dan Teknikal antara Malaysia dengan Vietnam.

Beliau berkata Anwar juga dijadual menunaikan solat Jumaat bersama komuniti Islam Hanoi di Masjid Al Noor, satu-satunya masjid di bandaraya itu, serta berinteraksi dengan imam dan ahli jawatankuasanya.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Malaysia ke Vietnam Datuk Tan Yang Thai.

Vietnam merupakan rakan dagang Malaysia ke-12 terbesar di dunia dan destinasi eksport ke-10 terbesar pada 2022 manakala Malaysia pula adalah rakan dagang ke-9 terbesar republik sosialis itu.

Malaysia dan Vietnam merekodkan nilai dagangan sebanyak US$19.33 bilion pada tahun lepas.

— BERNAMA

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button