BanjirNasional

Mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 6,564 orang

MANGSA banjir di Johor terus melonjak kepada 6,564 daripada 1,819 keluarga yang ditempatkan di 51 pusat pemindahan sementara (PPS) DI enam daerah setakat jam 8 pagi berbanding 3,322 orang pada 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Azmi Rohani berkata, pertambahan itu susulan peningkatan mangsa di Kota Tinggi, Kluang dan Johor Bahru.

“Kota Tinggi mencatatkan mangsa tertinggi dengan 2,964 orang daripada 783 keluarga di 24 PPS, diikuti Johor Bahru 1,844 orang daripada 504 keluarga di 10 PPS dan Kluang dengan 1,633 mangsa daripada 500 keluarga di 14 PPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Kulai pula merekodkan 86 mangsa banjir daripada 23 keluarga, 20 orang daripada lima keluarga di Segamat dan Pontian seramai 17 orang daripada empat keluarga, masing-masing ditempatkan di sebuah PPS.

Setiausaha kerajaan Johor berkata, data Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan enam sungai di Johor di paras bahaya.

Empat sungai di paras bahaya di Kota Tinggi membabitkan Sungai Johor di Rantau Panjang, iaitu 10.65m, Sungai Linggiu di Linggiu (31.4m), Sungai Kepala Orang di Kampung Sri Jaya (8.76m) dan Sungai Johor (3.27m).

Katanya, mencatatkan paras bahaya ialah Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang yang mencatatkan 15.9m dan Sungai Siam di Kampung Sungai Siam, Kulai (20.95m).

Azmi berkata, hanya Mersing dan Tangkak dijangka hujan pagi ini, manakala semua lapan daerah diramalkan cerah.

Sementara itu, laporan terkini situasi banjir di seluruh negara oleh Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menunjukkan jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 845 mangsa daripada 221 keluarga di 23 PPS setakat 12 tengah malam tadi.

Rompin menjadi daerah tertinggi mangsa dipindahkan, iaitu 360 orang daripada 109 keluarga, diikuti Maran (261 mangsa, 58 keluarga) dan Pekan (224 mangsa, 54 keluarga).

Di Sarawak, sebuah PPS dibuka di Kuching akibat kebakaran yang menempatkan 38 mangsa daripada 12 keluarga.

Dalam pada itu, tinjauan Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran pula mendapati beberapa sungai mencatatkan paras bahaya, antaranya Sungai Kedah, Kota Setar di Kedah; Sungai Kelantan, Gua Musang, Kelantan dan lima sungai di Pahang iaitu Sungai Kuantan, Kuantan; Sungai Pahang di Pekan, Jerantut dan Maran dan Sungai Rompin, Rompin.

Batang Sadong, Serian di Sarawak serta Sungai Terengganu, Hulu Terengganu, Terengganu turut berada dalam senarai paras bahaya.

Laporan itu turut memaklumkan 43 jalan ditutup akibat banjir, cerun runtuh, jalan mendap dan kerosakan, antaranya Jalan Mersing – Endau (Mersing), Jalan JB – Mersing dan Jalan Kota Tinggi – Kluang di Johor; Lebuhraya Kuantan – Segamat (Lebuhraya Tun Razak) dan Jalan Pekan – Nenasi – Rompin, Jalan Temerloh – Jerantut di Pahang serta Jalan Bukit Besi – Dungun, Terengganu.

Amaran cuaca peringkat bahaya turut dikeluarkan bagi Rompin di Pahang yang diramal hujan sangat lebat berterusan, manakala peringkat buruk di Pekan, Pahang dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi) yang dijangka berlaku hujan lebat berterusan hari ini.

Peringkat waspada pula melibatkan Maran, Kuantan dan Bera di Pahang serta Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru di Johor yang dijangka berlaku hujan berterusan hari ini. – SM

BACA Banjir: 4,893 hektar kawasan pertanian terjejas, kerugian lebih RM22 juta

(Visited 31 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button