Politik

ADUN DAP tidak akan sokong MB dari UMNO

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada DAP Leow Thye Yih berikrar tidak akan menyokong calon Menteri Besar daripada kalangan ADUN UMNO.

ADUN Pokok Asam itu menegaskan, terdapat dua peristiwa yang membuatkan beliau berazam untuk menolak mana-mana calon daripada UMNO sebagai menteri besar Perak yang baharu.

Peristiwa pertama katanya, berkaitan insiden Barisan Nasional yang diketuai UMNO menumbangkan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Harapan pada tahun 2009.

Thye Yih menegaskan peristiwa itu merupakan sejarah hitam yang tidak dapat dilupakan olehnya hingga menyebabkan dia menyertai perjuangan DAP.

Beliau juga menolak calon UMNO kerana parti itu bersekongkol menumbangkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perak pimpinan PH tahun ini.

“Negara kita telah mencipta sejarah pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun 2018 di mana atas sokongan padu rakyat terhadap Pakatan Harapan telah menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dan buat kali pertamanya membentuk kerajaan Pusat dan beberapa Kerajaan Negeri di Malaysia.

“Akan tetapi, UMNO sekali lagi pada tahun ini telah merampas Kerajaan Pakatan Harapan Persekutuan, Kerajaan Negeri Perak serta beberapa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang lain, tindakan UMNO sedemikian telah jelas menderhakakan mandat rakyat,” kata Thye Yih.

Thye Yih meminta rakan-rakannya dalam DAP turut mengambil pendirian yang sama menolak calon Menteri Besar daripada UMNO.

“Saya berharap dan menyeru rakan-rakan sepejuangan DAP khasnya ADUN-ADUN DAP Negeri Perak menyokong pendirian saya dan seterusnya menolak mana-mana calon daripada UMNO sebagai Menteri Besar Perak berikut,” tegas Thye Yih .

Pendirian Thye Yih tidak sealiran dengan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk UMNO bagi membentuk Kerajaan Negeri Perak yang baharu.

Beberapa media melaporkan Kor Ming berkata, diabekerjasama dengan mana-mana parti termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan negeri Perak yang baharu.

Di Twitternya, Kor Ming menegaskan kerjasama itu demi kepentingan rakyat dan demi membentuk kerajaan negeri yang berbilang kaum dan stabil.

“Untuk kepentingan rakyat, DAP Perak bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang dapat membantu Perak untuk membentuk kerajaan yang berbilang kaum, kuat dan stabil untuk mengatasi krisis politik.

“Saya bersedia untuk terlibat dalam perbincangan yang tulus dan membina. Kami sudah bersedia,” ciap Kor Ming di Twitternya.

Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada Barisan Nasional 25, Bersatu 5, Pas 3, DAP 16, PKR 3, Amanah 5, Gerakan 1 dan Bebas 1.

Politik di Perak bergolak selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Uzumu digulingkan dari jawatan menteri besar Perak Jumaat lalu melalui usul undi percaya yang dilakukan oleh Ahli Parlimen BN di Dewan Undangan Negeri Perak.-SM

 

(Visited 814 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button