NasionalParlimen

Gula Rakyat harga dikawal kerajaan, pengeluar tiada subsidi

DUA syarikat gula tempatan, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) dibenarkan mengeluarkan Gula Putih Bertapis Jernih untuk pasaran runcit negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Salahuddin Ayub berkata, kerajaan telah membenarkan MSM dan CSR mengeluarkan dan memasar gula jenis baharu iaitu Gula Jernih dengan harga jualan runcit yang tidak dikawal Kerajaan atau yang diapungkan mengikut pasaran sejak 25 Mei lalu.

LOMPAT PARTI SABAH

“Gula Jernih bukan gantian kepada gula putih bertapis kasar dan halus sedia ada atau yang saya panggil, Gula Rakyat yang pada masa ini dikeluarkan dengan jumlah 42,000MT sebulan.

“Kuantiti tersebut mencukupi untuk kegunaan domestik dan dijual pada harga runcit yang dikawal Kerajaan iaitu RM2.85/kg (kasar) dan RM2.95/kg (halus),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Kata Salahuddin, walaupun harga runcit Gula Rakyat dikawal oleh Kerajaan tetapi tiada subsidi diberikan kepada pengeluar.

Dengan adanya Gula Jernih di pasaran, ujar beliau, akan menambahkan lagi pilihan kepada pengguna bagi keperluan gula mereka.

MSM dan CSR telah memohon untuk menaikkan harga runcit gula sejak 2012 bagi menampung kos pengeluaran yang terus meningkat.

Untuk rekod, industri gula menghadapi kenaikan kos pengeluaran terutamanya harga gula mentah dan tarif gas asli.

Gula mentah diimport sepenuhnya dari luar negara dan ia menyumbang 81% daripada keseluruhan kos operasi pengeluaran gula.

Manakala gas asli menyumbang kira-kira 9% daripada keseluruhan kos dan lain-lain kos sebanyak 10% juga telah meningkat seperti kos perkapalan (freight charges) serta kadar pertukaran matawang asing.

“Susulan itu, pada Mei 2021, CSR dan MSM telah memohon kepada Kerajaan untuk menaikkan harga kawalan Gula Rakyat kasar dan halus sebanyak RM0.20/kg.

“Permohonan kenaikan harga kawalan runcit ini telah tidak dipertimbangkan oleh Kerajaan pada masa itu termasuklah beberapa permohonan seterusnya iaitu kenaikan sebanyak RM0.40/kg (Februari 2022) dan RM0.70/kg (Mei 2022),” katanya.

Tambah Salahuddin, situasi kenaikan harga gula mentah dan gas asli di pasaran dunia menjadi semakin buruk tahun ini.

Jelas beliau, harga gula mentah dunia meningkat 134% sehingga RM2,646.46/MT berbanding RM1,131.67/MT pada 2019.

Manakala harga gas asli dunia pada Mei 2023 telah meningkat 143% sehingga RM300.11/MT berbanding RM123.39/MT pada 2019, katanya.

“Ini menyebabkan MSM dan CSR mengalami kerugian di mana kos bagi menghasilkan 1kg Gula Rakyat dianggarkan RM3.73/kg.

“Tanpa mengambil kira margin keuntungan pun, kos pengeluaran Gula Rakyat 1kg kasar adalah 31% (atau RM0.88) lebih tinggi daripada harga kawalan runcit semasa,” kata Salahuddin memberi pencerahan.

Oleh itu, katanya, kedua-dua syarikat MSM dan CSR telah memohon kepada Kerajaan sekali lagi supaya harga kawalan runcit Gula Rakyat ditingkatkan sebanyak RM1.00/kg iaitu masing-masing kepada RM3.85/kg (kasar) dan RM3.95/kg (halus).

“Atau sebagai ganti, Kerajaan memperuntukkan subsidi sekiranya harga kawalan masih dikekalkan namun bekalan gula dan kepentingan rakyat isi rumah, penjaja dan peniaga kecil sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan.

“Dengan mengambilkira kos pengeluaran yang semakin membebankan serta kemaslahatan industri gula tempatan termasuk tanggungan Kerajaan sekiranya melibatkan pemberian subsidi maka Kementerian mengambil keputusan membenarkan pengeluaran Gula Jernih untuk dijual di pasaran runcit bertujuan memberi pilihan kepada pengguna,” jelas beliau.

Salahuddin juga berkata, Gula Jernih ini merupakan pilihan industri-industri bertaraf antarabangsa yang sangat menjaga kualiti produk mereka.

Bagi memastikan tidak berlaku lagi gangguan bekalan Gula Rakyat dalam negara pada masa akan datang, selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Mei 2023, Kementerian telah mewujudkan satu task force bagi menangani secara menyeluruh isu dan hala tuju bekalan gula negara.

Force ini, kata Salahuddin, berperanan untuk memantau status dan isu pengeluaran dan pengedaran Gula Rakyat serta mencadangkan tindakan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang untuk memastikan keterjaminan bekalan gula negara. – SM

(Visited 469 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button