Nasional

SSR mohon derma RM62,000, bebaskan 31 peserta berkumpul di Dataran Merdeka

Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) memohon bantuan orang ramai untuk membayar kompaun sebanyak RM62,000 selepas 31 peserta dikompuan kerana melakukan kesalahan berkumpul di Dataran Merdeka pada 19 Ogos lalu.

SSR dalam satu kenyataan berkata, bantuan tersebut bertujuan membantu 31 peserta yang hadir pada perhimpunan tersebut untuk membayar kompaun yang dikenakan.

“Seramai 31 peserta yang hadir membakar lilin dan meletakkan bunga ros sebagai tanda peringatan bagi mengenang lebih 13,000 rakyat di negara ini yang telah pergi akibat Covid-19.

“Mereka dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang. SSR telah berbincang dengan beberapa rakan peguam berkenaan tindakan yang akan diambil dan kami tidak menolak untuk menyaman pihak polis. Ini kerana tangkapan yang dibuat tidak berasaskan lunas perlembagaan.

“Peserta yang ditahan tidak diberikan akses untuk diwakili oleh peguam setiap seorang. Kami telah membuat laporan polis pada Ahad lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul agar siasatan dibuat terhadap pegawai polis IPD Dang Wangi yang telah menahan peserta pada malam tersebut,” kata kenyataan tersebut di sini semalam.


Mengulas lanjut, pada 19 Ogos yang lalu, SSR telah menganjurkan malam mengenang lebih 13,000 rakyat Malaysia yang telah pergi akibat daripada Covid-19. Malam tersebut yang sepatutnya menjadi ruang untuk bertafakur sejenak bagi mengenang rakan-rakan serta saudara-mara yang telah terkorban bertukar menjadi kecoh apabila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan kesemua mereka yang hadir.

“Pihak polis berkeras menyatakan bahawa kesemua yang hadir tidak ditahan. Namun, para peserta yang hanya meletakkan bunga ros dan menyalakan lilin kemudiannya telah ditarik, ditolak dan diheret dengan kasar kerana pihak polis yang berada di sana gagal memberikan sebarang sebab untuk menahan peserta.

“Setelah semua dipaksa menaiki trak polis ke IPD Dang Wangi dan disoal siasat di sana, barulah polis memaklumkan bahawa penahanan dibuat di bawah tiga akta iaitu Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman, Seksyen 21A Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1985 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit,” jelasnya. -SM

(Visited 70 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button