JenayahNasionalpilihan

Lagi bot Kelas A ditahan tangguk siput secara haram

SEPANJANG Julai ini, buat kali ketiga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis telah menahan bot kelas A kerana menangkap siput retak seribu secara haram.

Pengarahnya Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain, bot kelas A yang berpangkalan di Kuala Kedah ini telah ditahan pada pukul lebih kurang 3.15 pagi tadi.

“Rondaan Op Aman dan Op Benteng Laut di sekitar perairan Perlis telah menahan bot berkenaan pada kedudukan lebih kurang 4.5 batu nautika dari barat Kuala Sanglang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pasukan ini telah tiba ke lokasi tangkapan setelah menerima maklumat awam yang disalurkan melalui Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis mengenai pencerobohan kawasan tangkapan siput oleh bot tersebut.

Bot Kelas A yang ditahan pagi ini. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis

“Hasil  pemeriksaan awal mendapati bot tersebut menceroboh masuk ke Perairan Perlis menangguk siput retak seribu secara haram tanpa kebenaran,” katanya.

Mohd Hashim berkata, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 11 (3) (C) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan telah menemui seorang tekong dan lima awak-awak kesemuanya warga tempatan yang berumur lingkungan 38 hingga 55 tahun berada di atas bot tersebut.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot, enjin, sangkar besi dan siput retak seribu sekitar RM105,000,” katanya.

Menurut beliau lagi, kesemua awak-awak termasuk tekong, bot dan hasil tangkapan siput tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Siput retak seribu yang dirampas semasa bot Kelas A ditahan pagi ini. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis

Tambahnya, tindakan bot nelayan berkenaan yang melakukan penangkapan siput di kawasan berkenaan telah menyebabkan ekosistem marin terjejas dan menyebabkan nelayan tempatan kekurangan sumber pendapatan.

Maritim Malaysia juga meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

Artikel berkaitan > Zon Maritim Kuala Perlis tahan bot Kelas A tangguk siput

(Visited 386 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button