Nasional

SPR tidak rancang laksana kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya

Persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah  tiada dalam perancangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan lat tempoh yang masih berkuat kuasa.
Bagaimana pun bagi Sarawak, SPR sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan tersebut.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun dari tarikh siapnya kajian terdahulu atau apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
“Bagi maksud tersebut, urusan kajian semula persempadanan terdahulu bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu telah selesai dijalankan pada 2018, manakala bagi Sarawak dan Sabah masing-masing pada 2015 dan 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sesuatu syor kajian semula persempadanan hanya akan dimulakan apabila terdapat pemberitahuan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri oleh SPR, serta disiarkan suatu notis sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bahagian II, Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, SPR di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dari semasa ke semasa sebagaimana difikirkan perlu, bertanggungjawab mengkaji semula persempadanan bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri berlandaskan prinsip dan tatacara ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
Prinsip berhubung persempadanan pilihan raya antaranya ialah kewajaran memudahkan semua pemilih keluar mengundi semasa pilihan raya dan bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri, serta mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu, bagi pendaftaran dan pengundian.
“Bilangan pemilih yang lebih kurang sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan kesukaran lain yang dihadapi bahagian pilihan raya di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan dan perhatian kepada pemeliharaan hubungan tempatan,” katanya. – SM
(Visited 66 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button