fbpx
Nasional

Solat Jumaat, berjemaah, aktiviti masjid, surau seluruh negara ditangguh 10 hari

SOLAT Jumaat, solat berjemaah serta semua aktiviti di masjid dan surau di seluruh negara ditangguhkan mulai 17 hingga 26 Mac berikutan situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas taklimat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan perbincangan ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang bersidang semalam.

“Mesyuarat telah mengambil ketetapan berikut, pertama semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah ditangguhkan mulai 17 hingga 26 Mac 2020.

“Jawatankuasa masjid dan surau disaran untuk membuat operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah keselamatan mengelakkan jangkitan. Tempoh 10 hari itu adalah tertakluk kepada nasihat dan pandangan KKM,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kedua, kata Zulkifli, sekiranya berlaku kematian akibat COVID-19, pengurusan jenazah hendaklah dilaksanakan mengikut hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang Disyaki atau Disahkan Dijangkiti Virus Ebola berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-107.


Beliau berkata kelonggaran diberikan sekiranya ada kemungkinan wujud kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah.

“Jenazah boleh diuruskan melalui prosedur tayammum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah itu.

“Bagi pelaksanaan dua perihal itu, Muzakarah menyerahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di setiap negeri,” katanya.

Zulkifli berkata berdasarkan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, pelaksanaan perkara itu juga adalah terpakai di Wilayah Persekutuan. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button