Luar Negara

Singapura kesan dua lagi kes positif Covid-19 varian Omicron

SINGAPURA mengesan dua lagi kes positif Covid-19 varian Omicron pada ujian awal dengan satu kes tempatan melibatkan pekerja barisan hadapan lapangan terbang dan satu kes import.

“Kedua-dua kes sudah lengkap divaksin dan menerima suntikan penggalak. Satu bergejala manakala satu lagi mempunyai simptom tidak ketara,” kata Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat semalam.

Kementerian berkata, kedua-dua kes itu semakin pulih dan ditempatkan di wad pengasingan di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID).

MOH kini menjalankan pengesanan kontak yang agresif untuk mengekang kes-kes itu.

Kes pertama ialah seorang wanita Singapura berusia 24 tahun yang merupakan kakitangan perkhidmatan penumpang di Terminal 1 dan 3 Lapangan Terbang Changi.


Dia pernah bekerja di bahagian penumpang transit dan mungkin berinteraksi dengan penumpang transit dari negara terjejas Omicron, menurut kenyataan itu.

Dilabel sebagai Kes 276363, KKM berkata, beliau tidak bekerja di Terminal 4, tempat tiga kes jangkitan Omicron sebelum ini berada. Petugas itu menjalani ujian Covid-19 pada 8 Disember sebagai sebahagian daripada Ujian Rutin Terdaftar (RRT) mingguan untuk pekerja barisan hadapan sempadan.

Dan keputusan ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) menunjukkan S-gene Target Failure, yang mungkin dikaitkan dengan varian Omicron, katanya.

Kes kedua yang dilabelkan sebagai Kes 276223, ialah seorang wanita pemastautin tetap Singapura berusia 46 tahun yang pulang ke negara republik itu melalui Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dari Jerman dengan menaiki Singapore Airlines SQ325 pada 6 Disember lalu.

“Ujian pra-berlepasnya di Perancis pada 4 Disember adalah negatif Covid-19. Sebaik tiba di Singapura, ujian PCRnya pada 6 Disember kembali negatif.

“Pada 7 Disember, dia mengalami hidung berair dan mendapatkan rawatan perubatan pada 8 Disember. Wanita itu disahkan positif jangkitan Covid-19 pada hari yang sama dan disahkan menunjukkan S-gene Target Failure semalam, katanya.

Singapura pada Isnin (6 November) mengesahkan varian Omicron yang dikesan dalam dua kes pertama Covid-19 import yang pada mulanya disyaki sebagai pembawa varian itu.

Keputusan ujian pengesahan untuk satu lagi kes import yang dilabel sebagai Kes 273611 belum selesai, katanya.

“Memandangkan kebolehjangkitannya yang tinggi dan tersebar ke banyak bahagian dunia, kita seharusnya bersedia melihat lebih banyak kes Omicron di sempadan dan juga dalam komuniti kita,” kata MOH. – SM

(Visited 78 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button