Ekonomi

Simpanan-i Tabung Qurban Bank Rakyat berjaya korban 102 lembu, 242 kambing

Pelanggan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban Bank Rakyat berjaya melakukan ibadah korban tahun ini membabitkan 102 ekor lembu dan 242 ekor kambing.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, Akaun Simpanan-i Tabung Qurban telah membantu pelanggan untuk melakukan simpanan yang lebih sistematik selain menyediakan perkhidmatan ibadah korban yang lebih terjamin dan selamat.

Syed Abdul Aziz berkata, pelanggan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban bebas memilih untuk melaksanakan simpanan secara bulanan atau sekaligus yang memudahkan perancangan ibadah korban.

“Bank Rakyat menyantuni golongan asnaf dan petugas barisan hadapan melalui program Jalinan Aidiladha dengan agihan 6,400 pek daging korban yang dihantar ke tujuh lokasi berbeza,” katanya dalam satu kenyataan.

Daging korban berkenaan telah diserahkan kepada Masjid Al-Akram Datuk Keramat, Masjid Mohamad Iskandar Wan Tempawan Alor Setar, Masjid Ar Rahman Kampung Tun Razak Bukit Katil, Melaka.


Pek daging korban turut diagihkan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS 2.0 Serdang bermula pada 26 Julai hingga 1 Ogos 2021.

Bank Rakyat juga mengambil pendekatan norma baharu dengan melantik syarikat penyembelihan yang melaksanakan penyembelihan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Daging korban tersebut dibungkus melalui proses pembungkusan vakum sebelum diagihkan agar daging tersebut sentiasa segar dan tahan lama.

Penerima daging korban terbabit terdiri daripada 50 orang asnaf yang dikenal pasti oleh masjid dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terlibat.

Bagi meringankan beban ketika mengharungi pandemik ini, mereka juga menerima sumbangan makanan keperluan asas dan wang tunai RM150 setiap seorang.

Sebagai menghargai usaha yang diberikan oleh masjid dan IPT berkenaan, Bank Rakyat turut menyumbang sebanyak RM5,000 kepada institusi yang menjayakan program Jalinan Aidiladha ini.

Manakala di MAEPS, selain daging korban, Bank Rakyat dan Surau Al-Barakah Bank Rakyat turut menyumbangkan kerusi roda kepada para petugas bagi memudahkan urusan pesakit COVID-19 yang dikuarantin.

Pelanggan yang berminat melanggan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban boleh mengunjungi Cawangan Bank Rakyat terdekat atau menghubungi 1300805454 atau laman sesawang, www.bankrakyat.com.my untuk maklumat lanjut.-SM

 

 

 

(Visited 134 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button