Politik

Shamsul Iskandar bimbang sistem ADIL boleh digodam

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 16 Mei – Isu kelemahan aplikasi ADIL yang akan digunakan secara dalam talian bermula 18 hingga 20
Mei ini dijalankan serentak di seluruh negara kian meresahkan calon-calon PKR bertanding di peringkat
cabang kerana boleh digodam oleh pihak tidak bertangungjawab.

Perkara tersebut disuarakan oleh calon Naib Presiden PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin menegaskan,
sistem tersebut mempunyai kelemahan yang perlu diatasi dan tidak menolak ia mudah digodam untuk mengubah
keputusan calon yang dipilih oleh ahli parti itu.

“Ada kemungkinan sistem ini boleh digodam jika ia berlaku sudah pasti boleh mengganggu proses pengundian
secara dalam talian.

“Contohnya jika seorang pengundi mengundi saya dan secara tiba-tiba keputusan itu boleh diubah jika ada
pihak boleh mengodam sistem ini dan saya minta Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk ambil perhatian,”
ujarnya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pengundian Cabang Hang Tuah Jaya di Bukit Baru di sini
hari ini.


Shamsul Iskandar yang juga Ketua Penerangan PKR serta calon Ketua Cabang Hang Tuah Jaya berkata, aplikasi
tersebut turut mendatangkan masalah khususnya kepada pengundi warga emas kerana mereka tidak tahu untuk
mengakses kaedah memilih calon secara dalam talian.

Menurutnya, bagi golongan muda perkara tersebut tidak menjadi masalah kepada mereka namun tidak kepada
golongan warga emas.

Dalam satu kejadian pengundian secara fizikal hari ini beliau berkata, seorang pengundi lelaki berusia 70-an memaklumkan namanya telah didaftarkan di dalam aplikasi ADIL ketika datang mengundi.

Bagaimanapun katanya, nama lelaki berkenaan telah didaftarkan dalam talian dan bukan secara fizikal.

“Bila kita hubungi nombor telefon yang didaftarkan namun ia adalah milik orang lain dan tiada kaitan dengan lelaki warga emas ini.

“Saya lihat ini adalah salah satu kelemahan ADIL yang harus diberikan perhatian oleh JPP walaupun masalah
ini dianggap sebagai kes terpencil,” ujarnya.

Proses pengundian fizikal di Melaka hari ini menyaksikan kira-kira 27,000 ahli layak untuk keluar mengundi
bermula pukul 9.30 pagi tadi sehingga 5.30 petang ini.

Ia melibatkan kesemua enam cabang iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu, Kota Melaka, Hang Tuah Jaya dan Jasin.

Sementara itu, Koordinator JPP Negeri Melaka, Datuk Gue Teck berkata, dua kawasan telah kenali pasti sebagai kawasan panas iaitu di Hang Tuah Jaya dan Tangga Batu.

Menurutnya, JPP melantik orang luar dan bukan dari cabang yang sama sebagai pengawas serta petugas di pusat pengundian.

“Kami bimbang pengawas-pengawas ini akan memilih bulu dan mengelakkan mereka memihak kepada kem-kem
tertentu. Ini adalah satu keputusan yang baik dari JPP,” ujarnya.

PKR mengadakan pemilihan 2022 untuk memilih barisan kepimpinan baharu sebagai persediaan parti komponen
Pakatan Harapan (PH) itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Antara negeri yang sudah mengadakan pengundian secara fizikal ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor,
Pahang dan Wilayah Persekutuan, manakala hari ini pengundian fizikal dijalankan di Perlis, Pulau Pinang,
Melaka dan Negeri Sembilan.

Untuk Selangor, negeri yang memiliki ahli paling ramai ditetapkan pengundian pada 21 Mei, sementara Perak,
Sabah dan Sarawak pada 22 Mei ini.

(Visited 44 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button