Politik
Trending

Kilang haram: Wirawati Putra kesal, Kerajaan Selangor masih berlembut

BERHUBUNG isu kewujudan kilang haram, Kerajaan Selangor terus diasak selepas dilihat berlembut dengan pemilik kilang haram di negeri itu.

Layanan sedemikian dikatakan tidak patut diterima oleh mereka apabila menyebabkan isu berangkai timbul seperti pencemaran sungai.

Kerajaan Selangor digesa mengambil iktibar terhadap kesusahan rakyat yang menghadapi gangguan bekalan air secara tiba-tiba akibat pihak tidak bertanggungjawab pemilik kilang haram.

Justeru, lanjutan proses pemutihan bagi pemilik kilang yang ingin melesenkan operasi perkilangan mereka adalah tidak wajar.

Ini kerana, tawaran itu dikatakan sudahpun diberikan sejak 12 tahun dahulu.

Malah kilang-kilang haram seperti yang menyebabkan pencemaran sumber air mentah di Sungai Gong sudah wujud sejak enam tahun dahulu.

“Penduduk Selangor yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak dapat menerima keputusan Kerajaan negeri Selangor yang disifatkan tidak garang.

“Rakyat sudah cukup sengsara dengan bekalan air yang kerap putus ditambah pula sesetengah kawasan di Selangor yang tidak menerima bekalan bantuan air mencukupi.

“Kerajaan negeri Selangor boleh bertindak lebih keras dengan mengeluarkan arahan serta merta pemutihan serta mula menjalankan operasi membanteras mana mana kilang haram.

“Jangan pula rakyat Selangor melihat kerajaan memilih kasih di antara penduduk tempatan yang tiada apa dengan golongan pemain industri kaya raya.”

Demikian kenyataan Pergerakan Wirawati Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hari ini kesal dengan tindakan Kerajaan Selangor.

Menurut kenyataan itu lagi, lanjutan pemutihan itu tidak patut, sebaliknya tindakan tegas perlu diambil terus dan tiada tawaran peluang wajar diberikan kepada mereka.

Ini kerana tempoh yang diberi seperti dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sudah cukup lama.

“Malangnya ingatan dan amaran ini sudah dikeluarkan sejak 2008 dan dalam tempoh itu berulang kali pencemaran kerap berlaku.

“Sehingga menyebabkan gangguan air pengguna di Selangor kerana kilang kilang haram ini tumbuh bagai cendawan di persisiran sungai negeri itu,” tegasnya.

Terdahulu, 1,292 kawasan di Selangor mengalami gangguna bekalan air tidak berjadual ekoran penutupan sementara empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dan Rantau Panjang.

Penutupan tersebut dibuat syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) selepas mengesan terdapat pencemaran pada sumber air mentah.

Ekoran itu, pada Jumaat lepas, lebih sejuta penduduk di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor terputus bekalan air selama empat hingga lima hari. – SM

(Visited 166 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button