Politik

Shamsiah, isteri Shahidan ralat dipecat MKT

BEKAS Ketua Wanita UMNO Perlis, Datin Seri Shamsiah Mohd Yassin melahirkan rasa ralat dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) melucut keahlian dan kesemua jawatannya di dalam parti ini, dua hari lepas.

Shamsiah akui terkejut menerima makluman keputusan MKT itu yang disifatkan sebagai tidak adil.

“Sepatutnya saya dipanggil supaya berpeluang berbincang lebih lanjut dengan Lembaga Disiplin sebelum dibuat keputusan,” katanya pada sidang media di kediamannya di Taman Tembusu, Jejawi, Arau hari ini.

Pada 9 Disember lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Shamsiah bersama dua lagi iaitu Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim dilucutkan keahlian hasil mesyuarat MKT.


Shamsiah memberitahu, beliau telah menerima surat tindakan tataterib pada 24 November lalu.

Bagaimanapun katanya, beliau menidakkan tuduhan tersebut semasa dihadapkan ke Lembaga Disiplin pada 29 November lalu yang turut dihadiri peguamnya.

“Saya cuma menemankan Datuk Seri Shahidan Kassim semasa hari pencalonan sebagai menjalankan tugas seorang isteri,” katanya.

Lagipun katanya, beliau telah memberitahu kepada Lembaga Disiplin bahawa memang tidak tahu bahawa perkara ini menjadi satu kesalahan.

“Paling dikesalkan apabila saya dituduh pula mensabotaj parti ini,” katanya.

Malah jelas Shamsiah, sepanjang tempoh suaminya berkempen, beliau langsung tidak pernah ikut berkempen.

Sebaliknya beliau hanya berada di rumah bersama dengan keluarga.

Kata Shamsiah, beliau kini terpaksa redha setelah dipecat tetapi berjanji akan meneruskan kerja-kerja kebajikan untuk rakyat bersama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Perpaduan Ummah yang bakal dilancar tidak lama lagi. – SM

(Visited 108 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button