Nasionalpilihan

Setiap kementerian perkenal sekurang-kurangnya satu inisiatif bantu rakyat

SETIAP kementerian akan memperkenalkan sekurang-kurangnya satu program dan inisiatif yang bermatlamat membantu mengurangkan kesan ekonomi yang ditanggung rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelbagai program dan inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan di bawah payung Keluarga Malaysia.

“Antaranya termasuklah Rumah Ikram Keluarga Malaysia, Skuad Keluarga Malaysia, Pakej Peranti Keluarga Malaysia, Pakej Penjagaan COVID-19 Keluarga Malaysia, Keluarga Malaysia Siaga Bencana, Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia dan Residensi Rumah Keluarga Malaysia.

“Saya berharap ia turut disokong oleh kerajaan negeri. Justeru, suka saya ingatkan, agar setiap ahli Jemaah Menteri dan kementerian-kementerian untuk terus konsisten memberi tumpuan kepada program serta inisiatif yang melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pelancaran Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, Sarawak hari ini.

Dalam pada itu, bagi memantau pelaksanaan konsep Keluarga Malaysia, Ismail Sabri berkata, Keberhasilan Kebahagiaan atau Key Happiness Outcome (KHO) telah diperkenalkan bagi melengkapi Petunjuk Prestasi Utama (atau KPI).

“KHO dan KPI ini menjadi komitmen dan kesungguhan kerajaan, untuk membawa negara keluar daripada kelelahan pandemik.

“Bahkan, ia akan memperbaiki kedudukan negara dalam carta Indeks Kebahagiaan Dunia atau World Happiness Report di mana kita kini berada di kedudukan ke-81 pada tahun 2021,” jelasnya. -SM

(Visited 107 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button