fbpx
Nasional

Seorang kakitangan MRT laluan Kajang positif Covid-19

Seorang kakitangan operasi MRT Laluan Kajang telah disahkan positif COVID-19 dan kini dikuarantin di Hospital Sungai Buloh.
DIfahamkan, kakitangan itu yang bertugas sebagai pengendali tren atau ‘transit officer’ bertugas buat kali terakhir pada 21 Oktober 2020.
Rapid Rail dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah melaksanakan kerja-kerja disinfektasi dan pembersihan tempat kerja staf berkenaan malam tadi berpandukan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Tren-tren pula sememangnya ditetapkan untuk menjalani kerja-kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap malam selepas operasi pada hari berkenaan.
“Semua kakitangan lain yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan berkenaan telah diminta untuk menjalani ujian saringan dan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari seperti yang ditetapkan di bawah prosedur operasi standard KKM,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pihak pengurusan dan staf Prasarana khususnya di Rapid Rail dan Rapid Bas telah dilatih untuk menerapkan piawaian dan protokol tertinggi untuk kebersihan dan sanitasi berkaitan COVID-19 selaras dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh KKM.
“Perkhidmatan MRT Laluan Kajang dan semua perkhidmatan pengangkutan awam lain kendalian Prasarana – LRT, monorel, Bas Rapid Transit dan bas henti- henti adalah selamat digunakan.
“Para pengguna diingatkan supaya mengikuti dengan rapi SOP yang telah ditetapkan khususnya pemakaian pelitup muka dengan kemas sepanjang masa, sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman serta mengambil suhu badan dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau di buku log sebelum memasuki tren,” ujarnya.
Tambahnya, langkah-langkah itu adalah penting untuk kita bersama-sama memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di samping memudahkan KKM membuat pengesanan semula sekiranya ada kes positif COVID-19. -SM
(Visited 12 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button