NasionalPolitikPRK

Amarah rakyat pada PH

KEKALAHAN Pakatan Harapan (PH) di Tanjung Piai memberi mesej mudah – rakyat muak dengan sikap pemimpin dan mahu janji dikotakan.

Tiada siapa yang dapat menghalang kuasa rakyat. Realitinya, jika mereka berani membuat perubahan dengan menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) walaupun telah bertapak sebagai kerajaan selama 60 tahun pada pilihan raya umum yang lalu, tiada sebab mereka akan teragak-agak untuk menolak kerajaan baharu jika mendapati kepimpinannya gagal menawan hati.

Hakikat ini turut dinyatakan oleh Pengerusi PH Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melihat  kekalahan itu sebagai isyarat daripada pengundi yang perlu diambil serius oleh parti tersebut.

“Mengambil kira kekalahan ini, PH perlu kembali semula kepada paparan lakaran untuk menilai dasar, pendekatan dan prestasi parti dan kerajaan yang telah menyumbang kepada rasa tidak puas hati rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Penolakan ini semakin jelas apabila rakyat tidak lagi sanggup menunggu masa lebih lama seperti yang diharapkan oleh pucuk pimpinan.

Alasan yang diberikan agar rakyat bersabar kerana kerajaan sedang ‘melakukan yang terbaik’ sudah muak didengari, lantas bibit-bibit kemarahan mula ditonjolkan menerusi beberapa keputusan pilihan raya kecil (PRK) diadakan.

Corak penolakan rakyat dapat dilihat apabila keputusan empat PRK awal – DUN Sungai Kandis, DUN Balakong, DUN Seri Setia dan Parlimen Port Dickson mencatatkan kemenangan kepada PH.

Namun, melangkah ke tahun 2019, bermula dengan PRK Cameron Hinglands, prestasi BN terus memecut meninggalkan parti lawannya.

Kecuali PRK Parlimen Sandakan yang dimenangi DAP, PRK DUN Semenyih dan DUN Rantau kedua-duanya dimenangi BN menerusi parti UMNO.

Kemenangan kerusi Parlimen Tanjung Piai lebih manis apabila ia dicapai dengan kerjasama Pas.

Pas sanggup mengetepikan ego dan menerima pencalonan wakil MCA seiring dengan hasrat deklarasi Muafakat Nasional iaitu bagi membina  negara ke arah lebih harmoni dan sejahtera.

Bagi rakyat, tempoh diberikan mungkin sudah mencukupi untuk kerajaan PH membuktikan sesuatu yang mampu meredakan keresahan ditanggung terutama kos sara hidup.

Sebaliknya apa yang berlaku adalah tekanan  dihadapi bertambah-tambah. Malah, semakin ramai yang kehilangan pekerjaan selain kebanyakan janji untuk mengurangkan beban rakyat hingga kini masih lagi gagal dilaksanakan.

Dalam masa sama, sikap mementingkan diri  kebanyakan ‘pak menteri’ yang dahulunya dianggap sebagai ‘pejuang rakyat’ semakin hari semakin terserlah.

Mungkin mereka lupa bahawa menerusi kuasa rakyat lah mereka mampu duduk di kerusi empuk dalam pejabat besar dengan dikelilingi ramai pegawai.

Kuasa rakyat juga melayakkan mereka berada dalam Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat untuk meneliti dasar-dasar negara.

Malangnya, kebanyakan mereka hanya ‘berjuang’ mempertahankan agenda parti masing-masing.

Kehidupan rakyat saban hari terus dicengkam kesukaran. Ironinya, mereka yang dahulunya berada di jalanan bersama-sama rakyat, kini lebih suka menyalahkan rakyat!

Sebagai balasan, rakyat melakukannya dengan membuat pilihan semula di kertas-kertas undi.

Dalam hubungan ini, mungkin telah tiba masanya bagi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melakukan rombakan Kabinet.

Tentunya, ujian pilihan raya kecil yang mencatatkan keputusan terburuk yang baru dilalui ini dapat memberi iktibar untuk memilih siapakah pemimpin pilihan rakyat.

Ingat, jangan sekali-kali cuba memperkecilkan kuasa rakyat!

(Visited 139 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button