Nasional

Pulau Batu Puteh: Apa pilihan kita? Tanya Tun M

AKHIRNYA bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad membuka mulut mengenai isu Pulau Batu Puteh.

Menurut Dr. Mahathir, Kerajaan Johor melalui surat telah menyatakan bahawa Johor tidak menuntut Pulau Batu Putih sebagai milik Kerajaan Johor.

Ahli Parlimen Langkawi itu mempersoalkan apa pilihan Malaysia, selepas bertahun-tahun melakukan rundingan dengan Singapura bagi memiliki Pulau Batu Putih namun tidak berjaya.

“Percubaan secara rundingan untuk Malaysia memiliki semula Pulau Batu Puteh bertahun-tahun tidak berjaya. Singapura masih mendakwa Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura.

“Apa pilihan kita? Kita boleh berperang untuk rampas Pulau Batu Puteh. Tetapi kos dan korbanan jiwa amat tinggi. Ia tidak dapat diterima oleh kita. Lagi pun belum tentu kita menang.


“Kita terus berunding tetapi tidak menghasil apa-apa keputusan,” katanya.

Menurut Dr. Mahathir, Malaysia dan Singapura akhirnya membawa isu tersebut kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Beliau menjelaskan, kedua-dua pihak telah berjanji secara bertulis akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh ICJ dan tidak ada rayuan terhadap keputusan ICJ.

“Rujukan kepada ICJ hanya akan diterima oleh ICJ jika perjanjian menerima tanpa soal dan keputusannya dihormati.

“Negara yang bermaruah mesti hormati janji. Hanya negara yang tidak bermaruah yang akan mungkir janji.
Muktamad adalah muktamad.

“Jika sebuah negara tidak hormati janji, tidak ada negara lain yang akan buat perjanjian dengan negara berkenaan. Ia menjadi negara pariah.

“Sebab itu sebelum berjanji kajian sedalam-dalamnya perlu dibuat. Jika tidak yakin jangan buat janji,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Pada 2008 Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa kedaulatan Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura manakala Terumbu Karang Tengah milik Malaysia. Panel 16 hakim membuat penghakiman 12-4 menyebelahi Singapura.

Bagaimanapun permohonan semakan semula dengan bukti kukuh telah dimulakan dan difailkan sejak 3 Februari 2017.

Namun pada 1 Jun 2018 Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr. Mahathir telah menarik diri daripada semakan semula keputusan ICJ. Penarikan diri itu beberapa hari sebelum kes itu dijadualkan dibicarakan di ICJ pada 11 Jun 2018.

Kerajaan  telah menubuhkan pasukan petugas khas isu Pulau Batu Puteh bagi menyiasat perkara itu.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya tindakan tegas diambil terhadap pihak bertanggungjawab yang tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh sehingga menyebabkan Johor hilang kedaulatan terhadap pulau itu kepada negara jiran.-SM

 

 

 

 

(Visited 83 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button