NasionalPolitik

Pentingkan Agama Sebelum Buat Keputusan, Itu Ciri Pemimpin Yang Dicari Generasi Muda

MEMANDANGKAN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan menemui rakyat Malaysia tidak lama lagi, pelbagai desas-desus mengenai keharmonian sistem demokrasi dibicarakan.

Antara yang menjadi perdebatan hangat adalah sejauh mana generasi muda akan berganding bahu menentukan pentadbiran negara pada saat parti politik banyak berpecah.

Bagi pelajar Diploma Kesihatan Persekitaran di Institut Latihan Kementerian Malaysia (ILKKM), Sungai Buloh, Nur Hatiqah Syuhada Zulkipli, 22, walau apa-apa pun yang terjadi dia tetap akan turun mengundi kerana ia satu kewajipan bagi seorang rakyat Malaysia.

“Lagi pun saya sudah mendaftar untuk mengundi tahun lalu dan pada PRU-15 akan datang, saya pasti akan turut turun untuk mengundi.

“Namun demikian dari segi calon, ada beberapa ciri penting akan saya perhalusi sebelum memangkah mereka sebagai calon,” katanya.

Nur Hatiqah berkata demikian mengulas kebimbangan orang ramai tentang penglibatan generasi muda dalam menentukan pentadbiran kerajaan menerusi PRU-15.

Pelajar jurusan akaun, Nur Shahirah Mahmood, 21, menegaskan, antara ciri-ciri pemimpin yang akan diundi perlulah mementingkan agama dalam membuat sesuatu keputusan.

“Hal ini sangat penting kerana dengan adanya pemimpin yang mengutamakan agama, masyarakat akan menerima banyak fadhilatnya.

“Yang penting dengan amanah yang dipikul, mereka memenuhi keperluan orang awam, memberi keadilan serta tegas dengan kebenaran menurut syariat agama Islam”, katanya.

Ujar seorang pekerja swasta, Tengku Azlanie Tengku Azman, 23, dia mengharapkan PRU-15 dapat berjalan dengan lancar tanpa adanya unsur-unsur negatif.

“Kita tidak mahu ada penipuan, tiba-tiba bekalan elektrik terputus dan sebagainya kerana kita mahu penilaian yang adil sesuai dengan norma baharu ketika ini.

“Selain mahu PRU-15 berjalan dengan baik, saya berharap calon yang menang kerusi lebih bertanggungjawab dalam menggalas beban demi kebaikan untuk rakyat,” katanya. – SM

(Visited 174 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button