Bola SepakSukan

Sadio Mane masih belum mahu kibar bendera putih

SADIO Mane berikrar bahawa dia dan rakan sepasukannya dalam Liverpool tidak akan berputus asa bagi merebut kedudukan kelompok empat terbaik bagi mengisi slot Liga Juara-Juara setelah terpaksa mengharungi ujian getir yang tidak dijangka mereka sama sekali.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu telah mengetepikan peluang mereka bagi merebut gelaran ekoran prestasi hambar yang dipamerkan sehingga jatuh merudum ke tangga kelapan dalam carta liga pada ketika ini.

Liverpool hanya memenangi sekali dalam saingan liga pada 2021, selepas terpaksa berdepan isu kecederaan dan masalah di luar padang yang menjejaskan skuad mereka.

Namun Mane menegaskan Reds sanggup melakukan apa sahaja bagi menyelamatkan musim mereka yang dilanda ‘ribut’.

“Dalam kepala kami sentiasa berpegang kepada kepercayaan jangan sesekali berputus asa dan kami tidak akan berbuat demikian.


“Sikap kemanusiaan yang ada dalam diri kami tidak akan membuat kami berputus asa. Sebagai pemain bola sepak jangan berputus asa seharusnya menjadi ungkapan pertama anda. Itu adalah ungkapan saya.

“Sasaran kami sebelum ini ialah memenangi liga. Dalam masa sama, jika anda tidak menang dan Manchester City terus melakar kejayaan dalam setiap perlawanan, maka untuk meraih gelaran menjadi sangat sukar. Jadi, kami akan melakukan apa sahaja untuk menempatkan diri dalam kedudukan empat terbaik,” katanya seperti yang dilaporkan The Echo .

Liverpool kini keciciran lapan mata daripada kedudukan keempat, walaupun Reds memiliki kelebihan satu perlawanan di tangan berbanding Chelsea yang mengisi slot tersebut.

Bagaimanapun, menyaksikan prestasi semasa Liverpool, peluang untuk merapatkan jurang seperti sesuatu yang mustahil dan memburu kemenangan dalam Liga Juara-Juara adalah prospek yang lebih realistik.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp berjaya menyingkirkan Red Bull Leipzig di peringkat 16 terbaik meskipun pasukan mereka sedang dilanda krisis, dan tidak dinafikan mendapat undian yang berpihak kepada Liverpool untuk pusingan seterusnya dapat membantu mencerahkan peluang mereka.

“Bukan mudah kerana kami bakal berdepan pasukan terbaik dalam Eropah, malah kami berada di sini adalah untuk menewaskan pasukan terbaik di dunia.

“Kami akan berusaha sedaya yang mampu dan sekali gus memenangi Liga Juara-Juara,” tambah Mane. – Mirror – SM

(Visited 30 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button