Sukan

Hafizh ditimpa kecederaan pelvis

PELUMBA negara, Hafizh Syahrin Abdullah disahkan pasukan perubatan MotoGP mengalami kecederaan pada bahagian pelvisnya dan dia kini telahpun dibenarkan keluar selepas dikejarkan ke hospital berhampiran, hari ini.

Doktor membenarkan Hafizh kembali ke kediaman Grand Prix (GP) di Reb Bull Ring, Austria bagi membolehkan dia berehat selepas terbabit dalam kemalangan sewaktu bersaing pada kejuaraan motosikal dunia bagi kelas Moto2.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pelvis pelumba Inde Aspar Team itu mengalami lebam dan hasil imbasan kali pertama kecederaan Hafizh setakat ini tidak membabitkan keretakan besar.

Pelumba berasal dari Ampang, Selangor itu telah dikejarkan ke hospital untuk pemantauan dan pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, pemilik pasukan Aspar Team, Jorge Martínez dalam kenyataannya berkata:
“Amat menakutkan melihat kemalangan itu. Pada awalnya, kami tidak sedar (Hafizh) Syahrin terlibat sama. Sebaik kami sedar insiden itu membabitkan dia, kami amat bimbang kerana tiada sebarang imej di televisyen.

“Saya berada bersamanya ketika di pusat perubatan litar dan perkara pertama doktor maklumkan kepada saya ialah dia berada dalam keadaan sedar dan tiada gegaran berlaku di bahagian kepalanya.

“Doktor juga melakukan ujian ultra bunyi di bahagian perut untuk melihat sama ada dia mempunyai sebarang masalah dan nampaknya Syahrin berada dalam keadaan baik. Imbasan CT juga dilakukan pada keseluruhan tubuhnya, dia tidak mengalami masalah patah tulang.

“Mereka kemudian membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut, tetapi kami gembira untuk menyatakan bahawa Syahrin berada dalam keadaan baik selepas kemalangan menimpanya.”

Dalam perlumbaan tersebut, Hafizh, 26, gagal mengelak pelumba yang jatuh di hadapannya lalu merempuh motosikal yang melintang di tengah trek sehingga menyebabkan dia terpelanting.

Ekoran insiden tersebut, perlumbaan Moto2 terpaksa dihentikan seketika dan bendera merah dikibarkan bagi membolehkan pekerja di litar membersihkan serpihan motosikal yang bertaburan. – SM

(Visited 82 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button