fbpx
Politik

Sabah diubah ke belakang oleh Warisan – Ahmad Zahid

SLOGAN ‘Sabah Ubah; yang dilaungkan oleh parti Warisan Sabah (Warisan) benar-benar mengubah negeri di bawah bayu itu, iaitu dengan mengubah ke belakang.

Ini ekoran pembangunan di Sabah tidak berkembang dan pertumbuhan ekonominya pula perlahan berbanding ketika di bawah Barisan Naional (BN).

Malah, projek infrastruktur yang dirancang untuk kemudahan rakyat dan bagi tujuan pembangunan rakyat di negeri itu seperti Labuhraya Pan Borneo yang dihentikan.

Lebuh raya itu merupakan projek mega yang dirancang di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Tu Razak untuk menghubungkan semua kawasan pedalaman di Sabah.

Melalui lebuh raya itu akan wujud pusat-pusat pertumbuhan baharu termasuk memajukan lagi industri pelancongan di negeri ini.


Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua itu ada bukti dan rakyat Sabah sendiri boleh merasainya menerusi pertumbuhan ekonomi ketika Sabah di bawah BN berbanding negeri berkenaan berada di bawah Warisan sepanjang dua tahun lebih yang lalu.

Katanya, statistik pertumbuhan ekonomi menunjukkan pada 2017, 2018 dan 2019 cukup berbeza.

Katanya, ia jelas menampakkan kelemahan pentadbiran kerajaan Warisan yang akhirnya menyebabkan tempias dan kesannya menimpa kepada rakyat.

‘’Ketika BN memerintah Sabah statistik atau perangkaan pertumbuhan ekonomi pada tahun 2017 setahun sebelum PRU-14, peningkatan pertumbuhan ekonomi 8.2 peratus melebihi daripada kadar pertumbuhan ekonomi di peringkat nasional.

“Ertinya Sabah lebih maju dan lebih berkembang pertumbuhan ekonomi berbanding dengan negeri lain ketika BN memerintah Sabah.

‘’Pada tahun 2018 ia merudum turun kepada 1.5 peratus. Ertinya apa? Selepas Warisan memerintah ekonomi tidak baik dan orang hilang pekerjaan.

“Pada tahun 2019 turun lagi 0.5 peratus atau setengah peratus ertinya selama lebih sedikit dua tahun slogan atau ‘tag line’ mahu ubah betul berubah tetapi berubah bukan ke depan tetapi berubah ke belakang, maka sekarang BN mahu ubah balik supaya rakyat dibela dan pertumbuhan ekonomi terus naik,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bongawan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan.

Turut bersama calon BN kawasan berkenaan, Ag Lahap Ag Bakar @ Ag Syairin.

Akibat ekonomi yang mengundur ke belakang kata Ahmad Zahid, ramai rakyat kehilangan kerja dan ada perniagaan yang terpaksa ditutup.

‘’Ini sebelum Covid-19… Covid-19 baru berlaku tahun ini bulan Febuari bulan Mac. Masalah ini berlaku 2018, 2019. Selalunya kalau berlaku kelemahan kita tidak pernah menuding jari kepada kita dan mesti tuduh kepada orang.

‘’Apabila Pan Borneo tidak diteruskan…  mereka salahkan kerajaan PH telah menghentikan projek itu sedangkan Warisan pada ketika itu adalah sebahagian daripada PH.

“Jika mereka dalam satu parti di bawah PH rundinglah elok-elok kerana mahu ubah, mahu naikkan Sabah mahu Pan Borneo diteruskan. Kenapa tidak dilakukan ertinya berlaku kelemahan dari segi pentadbiran,’’ ujarnya. – SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button