fbpx
PolitikPRK

Jika Bersatu kalah, tanda protes DAP?

KEMPEN Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai secara rasminya memasuki minggu kedua sebelum proses pengundian sebenar berlangsung pada 16 November ini.

Seperti kempen-kempen pilihan raya lalu, hari Sabtu dan Ahad dilihat sebagai peluang terbaik bagi parti-parti politik yang mengambil bahagian menurunkan panglima-panglima mereka untuk terus mempengaruhi para pengundi.

Tentu juga kali ini lebih banyak janji dan harapan yang diberikan kepada masyarakat setempat dalam usaha memancing undi.

Realitinya, kemenangan atau kekalahan calon  dipertaruhkan di kerusi Tanjung Piai secara tidak langsung akan dilihat sebagai hala tuju kepada parti-parti yang  bertanding dalam soal menentukan survival politik masing-masing.

Dengan enam calon pelbagai latar belakang yang bertanding, bermakna memberi pilihan kepada pengundi menunjukkan kecenderungan dalam membuat pilihan masing-masing.


Pertembungan tiga calon Melayu dan tiga calon bukan Melayu, turut memberi isyarat apakah benar pengundi Melayu hanya mengundi Melayu dan bukan Melayu memilih calon bukan Melayu.

Selain kerjasama UMNO dan Pas dalam menjayakan Muafakat Nasional, hala tuju pengundi Cina juga amat mencuri tumpuan.

Sokongan yang diberi bakal menentukan sama ada mereka akan tetap mempertahankan Bersatu sebagai tonggak Pakatan Harapan (PH) atau kembali mempercayai calon MCA, yang merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam menjayakan perjuangan mereka.

DAP sebagai sekutu Bersatu telah membuktikan bahawa mereka mampu menarik sokongan pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu apabila kerusi Tanjung Piai dimenangi Allahyarham Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik, 42.

Kemenangan Md. Farid yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu adalah berdasarkan sokongan kira-kira 80 peratus pengundi Cina.

Di sini, peranan DAP akan dapat dinilai.

Sekiranya parti yang sering terkait dengan isu-isu sensitif dan perkauman ini gagal mengekalkan sokongan, ini akan  mengukuhkan tanggapan bahawa mereka ‘merelakan’ kemenangan calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng, 55.

Ini berdasarkan ‘keretakan’ hubungan dengan Bersatu yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad kebelakangan ini.

Banyak isu melibatkan DAP yang bertentangan dengan kepentingan nasional, dilihat menyukarkan kerajaan PH untuk terus mendapatkan kepercayaan rakyat.

Kegagalan ‘bersuara’ secara terbuka sehingga beberapa pemimpin DAP berani mencabar kepemimpinan Dr. Mahathir.

Sehingga kini, peluang calon Bersatu, Karmaine Sardini, 66, masih sukar diramalkan.

Apapun, kewujudan pengundi atas pagar tidak boleh dinafikan mampu membawa perubahan besar pada pertembungan penting ini.

Golongan ini adalah kumpulan yang mampu menggugat kemenangan Bersatu di Tanjung Piai.

Dengan majoriti tipis yang diperolehi Md. Farid – 524 undi berbanding undi rosak iaitu 841, keputusan pada PRU Ke-14 mungkin berubah jika pengundi atas pagar menjalankan tanggungjawab sebenar mereka!

Show More

Related Articles

Back to top button