fbpx
Politik

Tekanan politik tidak melemahkan Warisan

BIARPUN Warisan dan Sekutunya berhadapan dengan tekanan politik ia tidak melemahkan semangat juang mereka.

Sebaliknya, semua tekanan itu telah meningkatkan keyakinan ahlinya untuk menghadapi cabaran pihak lawan.

Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong berkata, yang penting semua ahli dan para pejuang parti terus meningkatkan keupayaan dan mendisiplinkan diri termasuk merapatkan hubungan silaturahim sesama sendiri.

“Situasi politik di Sabah ketika ini sama seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang agak panas apabila berlaku peralihan kuasa kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Katanya, sebelum ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi sasaran sehingga berlaku pertukaran pimpinan dan sekarang di Sabah pula selepas pelantikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang sah dibawa ke mahkamah.

“Apabila Mahkamah Tinggi sudah buat keputusan dibawa pula ke Mahkamah Rayuan, dan akhirnya Mahkamah Rayuan memutuskan keputusan Mahkamah Tinggi itu yang sah, tak putus-putus (isu),”katanya seperti yang dipetik daripada Sabah News Today.

Jaujan berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Warisan Semporna, di Dewan Masyarakat Semporna yang dihadiri 155 Cawangan.

Menurut Jaujan, agenda pihak lawan ialah cuba merampas kuasa Kerajaan Negeri yang disifatkan terkeluar dari lunas sistem demokrasi yang selama ini menjadi dukungan setiap rakyat.

“Mereka mempengaruhi wakil rakyat di Parlimen, (kini) wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) pula menjadi sasaran.

“Akhirnya kita buat pilihan kembalikan kuasa kepada rakyat, kita bubar DUN dengan cara teratur,” katanya.

Tindakan bubarkan DUN itu katanya,  tidak disenangi blok pembangkang sehingga menuduh Yang Dipertua Negeri (TYT) berat sebelah dan mengambil rasuah.

“TYT sudah mendengar apa sebab kita bubar DUN, sudah diterangkan satu persatu, kalau kita tidak bubar DUN sudah tentu rakyat akan terheret dengan pergolakan yang akhirnya membawa kepada suasana tidak baik.

“Sedangkan tujuan kita untuk mentadbir negeri, kita mahu bangunkan Sabah, tingkatkan ekonomi, rakyat dapat hidup dengan baik aman damai tetapi masih juga bergolak akibat kerakusan dan ketidakpuasan hati menolak kuasa rakyat,” katanya. – SM

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button
error: Isi kandungan ini di lindungi dari Copy & Paste !!