Ekonomi

RMK-12:Kerangka jaringan keselamatan akan diperkenalkan

Ekuiti korporat Bumiputera belum capai sasaran

PEMILIKAN ekuiti korporat Bumiputera masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu, menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Kerajaan akan memperkenalkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti  supaya penjualan saham atau syarikat Bumiputera hanya ditawarkan dan dijual kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera lain.

“Status pemilikan ekuiti sektor korporat berasaskan nilai pasaran bagi tahun 2019 seperti berikut iaitu pegangan Bumiputera hanya mencapai 17.2 peratus; bukan Bumiputera 25.0 peratus; asing 45.5 peratus; dan nomini 12.3 peratus.

“Bagi memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera yang mampan, kerangka jaringan keselamatan ekuiti akan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika mengumumkan RMK-12.

Ismail Sabri juga berkata, pegangan dan pelupusan pemilikan oleh syarikat Bumiputera akan dikawal selia oleh kementerian dan agensi berkaitan selaku pengawal selia sektor.


“Dalam usaha menyelaras semua inisiatif ini, Bahagian Kemakmuran Bumiputera dengan mandat dan fungsi yang lebih jelas akan diwujudkan semula melalui penugasan semula pegawai di setiap kementerian dan agensi Kerajaan.

“Langkah ini adalah bagi menambah baik tadbir urus pelaksanaan agenda Bumiputera,” katanya.

Tambah beliau, satu rangka kerja tindakan pembangunan Bumiputera akan diumumkan pada penghujung tahun ini bagi memperincikan beberapa inisiatif utama dalam merealisasikan aspirasi bagi meningkatkan status sosioekonomi Bumiputera.

Pada masa sama, usaha memperkasakan gender dalam pembangunan akan diteruskan dengan meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi dan proses membuat keputusan.

“Penyertaan wanita dalam pasaran kerja disasarkan mencapai 59 peratus pada tahun 2025. Akses dan kualiti perkhidmatan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak serta penjagaan warga emas dengan yuran yang berpatutan akan dipertingkat. Ini akan mendorong lebih ramai wanita untuk kekal atau kembali bekerja,” katanya. – SM

(Visited 19 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button